Ejen hartanah sambilan hilang ditemukan lemas

Ejen hartanah sambilan hilang ditemukan lemas

rnoraina@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Ejen hartanah sambilan yang dilapor hilang sejak Sabtu, ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas di Tasik Astana Alam, Bandar Puncak Alam di sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat lelaki itu terapung di tepi tasik pada 10.45 pagi tadi.

Katanya, sebelum itu, isteri lelaki berkenaan mendakwa suaminya yang berusia 31 tahun keluar rumah pada 5 pagi Sabtu dalam keadaan tidak terurus.

“Dia kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangan suami pada 12.20 tengah malam.

“Susulan penemuan itu, mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat dan siasatan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Hafiz berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin akan menjejaskan siasatan.

Beliau memohon mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Fuzi Kamazan di talian 012-3818167 atau ke mana-mana balai polis berdekatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top