FIRMAN Allah S.W.T:
Advertisement
وَمَآ اٰتَيْتُمْ مِّنْ رِّبًا لِّيَرْبُوَا۠ فِيْٓ اَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُوْا عِنْدَ اللّٰهِ ۚوَمَآ اٰتَيْتُمْ مِّنْ زَكٰوةٍ تُرِيْدُوْنَ وَجْهَ اللّٰهِ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُضْعِفُوْنَ.
“Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar harta manusia bertambah, maka ianya tidak bertambah di sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat (termasuk sedekah) yang kamu maksudkan untuk memperolehi keredhaan Allah, maka mereka (yang berbuat demikian) adalah orang-orang yang melipatgandakan (rezeki dan pahalanya)”.
(ar-Ruum: 39)
Islam telah menetapkan peraturan dan prinsip di dalam menjana ekonomi. Ini kerana kekuatan ekonomi adalah antara faktor utama membina kemajuan sesebuah keluarga, masyarakat, negeri dan negara.
Prinsip asas ekonomi Islam dengan mengambil kira halal dan haram, dosa dan pahala. Ianya bukan semata-mata bermatlamatkan keuntungan duniawi sahaja, namun yang lebih utama adalah kemajuan ekonomi yang dijana dapat membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Ayat di atas mengandungi sebahagian prinsip dalam membangunkan ekonomi yang membawa kepada mardhaatilLah (keredhaan Allah S.W.T) iaitu penolakan (pengharaman) terhadap amalan riba. Riba (sebarang pertambahan yang tidak patuh syariah) bukanlah suatu yang baik dan tidak dikira sebagai untung di sisi Allah walaupun ianya banyak kerana ianya memudaratkan pihak yang lain dan merupakan pencabulan terhadap harta orang lain. Begitu juga keuntungan melalui rasuah, judi dan penjualan arak yang tidak dikawal akan membawa mudarat yang lebih besar daripada manfaat.
Islam mengharuskan kawalan harga dilakukan oleh pihak pemerintah dengan melihat mekanisma dan aspek yang pelbagai. Sebagai contoh kepentingan umum lebih diberikan keutamaan daripada kepentingan peribadi.
Pihak kerajaan melalui kementerian berkenaan perlu mengkaji mekanisma yang sesuai untuk menstabilkan dan menurunkan harga barangan keperluan rakyat di pasaran tanpa menuding jari kepada pihak lain atau memberikan formula yang merugikan rakyat dalam suasana kelembapan ekonomi yang berterusan.
Kita semua maklum harga barangan makanan meningkat kerana para peniaga mendapat barangan dengan harga yang tinggi daripada pembekal. Jika pengguna diminta supaya memboikot peniaga yang meletakkan harga barangan makanan mahal, ianya bukanlah suatu penyelesaian bahkan ianya boleh mewujudkan kelembapan ekonomi yang berpanjangan kerana bekalan barangan yang diterima oleh peniaga memang sudah tinggi.
Justeru dalam suasana sebegini, kerajaan perlu memikirkan langkah segera yang boleh membantu rakyat dan juga kumpulan peniaga bagaimana untuk mereka mendapatkan barangan perbekalan yang lebih murah.
Begitu juga sumber yang ada di dalam negara perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin. Ini bagi mengelakkan berlakunya kerosakan dan bekalan tersadai dalam keadaan barangan di pasaran masih tidak mencukupi yang akhirnya boleh mengakibatkan inflasi yang melampau. Insentif juga perlu diberikan kepada pengusaha secara terus. Negeri-negeri perlu diberikan peruntukan yang mencukupi untuk fokus kepada aktiviti penghasilan bekalan keperluan dalam negara mengikut kepakaran dan kemudahan yang terdapat di negeri tersebut. Kebergantungan kepada negara luar perlu dikurangkan sedikit demi sedikit.
Justeru dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu, kerajaan dinasihatkan agar kurangkan berpolitik dan fokus kepada usaha pembangunan ekonomi negara dan rakyat mengikut kadar yang termampu. Penjimatan kos dan elakkan pembaziran. Laksanakan tanggungjawab pemerintahan yang telah terpikul. Utamakan kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.
“Malaysia Sejahtera”
ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI,
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
9 Rejab 1444
31 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 31/1/2023