Putrajaya: Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata Bank Negara hari ini telah mengeluarkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun ini, iaitu sekitar empat hingga lima peratus.
“Dengan unjuran tersebut, tumpuan adalah untuk memastikan kegiatan ekonomi terus berlangsung serta pertumbuhan dapat dikekalkan dengan baik,” katanya kepada media selepas melancarkan Seminar Pemetaan Peluang Strategik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di sini hari ini.
Terdahulu, bank pusat mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara empat hingga lima peratus tahun ini, meningkat berbanding unjuran empat hingga 4.8 peratus pada 2025.
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada 2025, dengan pertumbuhan suku keempat mencecah 6.3 peratus.
Prestasi ini didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, eksport elektrik dan elektronik yang kukuh, serta sektor pelancongan yang terus menyokong aktiviti ekonomi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



