KENANGA Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengunjurkan ekonomi Malaysia kekal mencatat perkembangan kukuh dalam separuh kedua 2025 yang diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan.
Ini terutamanya susulan kelulusan akhir bagi projek prasarana mega Laluan 3 Transit Aliran Massa (MRT3), kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya pada Isnin.
Jangkaan itu turut disokong oleh angka unjuran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku kedua 2025 yang seiring dengan unjuran bank berkenaan, sekali gus memaparkan pertumbuhan berterusan dalam perkhidmatan walaupun terdapat penguncupan dalam perlombongan manakala pembuatan yang perlahan.
“Bagaimanapun, kelembapan komoditi yang berpanjangan serta risiko tarif yang ketara, akan terus menekan pertumbuhan secara menyeluruh. Berikutan itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan 2025 pada 4.3 peratus (5.1 peratus pada 2024),” katanya.
Pada Jumaat lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua 2025 berdasarkan anggaran awal, mengatasi peningkatan sebanyak 4.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu dijangka didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dalam mendepani cabaran global.
Dalam pada itu, Kenanga IB mengekalkan unjuran eksport 2025 pada 3.1 peratus (5.7 peratus pada 2024), dalam keadaan dasar tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang berterusan dan eksport komoditi yang lemah.
“Walaupun ketegangan perdagangan AS mereda selepas perjanjian baharu, ketidaktentuan itu kekal ada terutamanya jika ekonomi besar memberi reaksi masing-masing. Ini boleh menjejaskan perdagangan global dan prospek pertumbuhan Malaysia,” katanya.
Perkembangan rundingan perdagangan AS-Malaysia juga menyumbang kepada ketidakpastian lanjut, terutamanya apabila kadar tarif Malaysia kekal lebih tinggi daripada Indonesia (19 peratus) dan Vietnam (20 peratus).
Kenanga IB berkata, eksport meningkat 3.8 peratus pada separuh pertama 2025 berbanding 5.4 peratus bagi tempoh Januari-Mei yang meningkat sedikit bagi unjuran tahun penuhnya.
Bagaimanapun, pertumbuhan perlahan kepada 3.4 peratus pada suku kedua 2025 (4.3 peratus pada suku pertama 2025).
“Prestasi kurang memberangsangkan pada Jun hanya memaparkan ketidakstabilan berterusan dalam perdagangan luar dengan prospek jangka pendek yang terus dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung tarif dan komoditi.
Bank pelaburan itu berkata, permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) juga dijadualkan kekal berdaya tahan, disokong oleh pelancaran pertumbuhan produk baharu serta peningkatan permintaan ke atas penerimagunaan 5G dan kecerdasan buatan (AI) walaupun pertumbuhan secara menyeluruh dijangka menyederhana.
Sementara itu di sebalik permintaan yang tidak menentu, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd menjangkakan aktiviti ekonomi domestik terus berdaya tahan dan mengealkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada 4.2 peratus.
“Berpandukan data KDNK dan perdagangan, kami mengandaikan pertumbuhan yang perlahan pada suku kedua 2025 berkemungkinan menjadi permulaan permintaan luaran yang lebih lemah.
“Kami menjangkakan tempoh separuh kedua 2025 sebagai mencabar berikutan risiko berkaitan tarif dan luaran, khususnya susulan pengumuman tarif AS sebanyak 25 ke atas eksport Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, dalam nada lebih positif, ia menyifatkan pelaksanaan tarif pada tarikh ditetapkan itu sebagai masih kabur berikutan pendirian terbuka Trump mengenai rundingan lanjut yang hanya memberi sokongan tambahan kepada eksport.
Firma itu berkata, pertumbuhan domestik yang disokong oleh perbelanjaan dan pelaburan, akan dipengaruhi oleh pembaharuan pasaran seperti kenaikan gaji/upah, dasar pengurangan kadar faedah di tengah-tengah keadaan inflasi lebih rendah, pertambahan kehadiran pelancong asing serta momentum pelaburan baharu.
“Dari seg penyusutan, rasionalisasi dasar subsidi kerajaan dan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan berkemungkinan besar memberi impak negatif ke atas perbelanjaan di masa akan datang yang menyederhana, sepertimana unjuran kami,” katanya. – Bernama