Kuala Lumpur: Dalam tempoh 10 tahun lalu, platform e-dagang berjaya memperkasa lebih dua juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan bukan hanya dengan menyediakan ruang perniagaan dalam talian tetapi juga dengan membina ekosistem digital yang mampan dan berdaya saing.
Landskap e-dagang di Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif dengan jumlah pengguna yang meningkat setiap tahun.
Perkembangan ini membuktikan penerimaan rakyat terhadap pembelian dalam talian semakin kukuh dan meluas. Melihat kepada trend semasa, e-dagang dijangka kekal sebagai saluran utama untuk jenama dan usahawan berhubung dengan pengguna secara lebih meluas dan berkesan.
Selain itu, perkembangan ini juga membuktikan e-dagang bukan sekadar saluran jual beli moden malah menjadi penghubung yang menyatukan rakyat Malaysia dari desa ke kota dan dari timur ke barat melalui urus niaga tanpa sempadan geografi.
Ketika negara terus bergerak maju dalam era ekonomi digital tumpuan perlu diberikan kepada usaha memperkukuh ekosistem ini agar lebih ramai usahawan kecil mendapat peluang untuk berkembang, bersaing dan menjangkau pelanggan baharu tidak kira dari mana mereka bermula.
Hari ini perubahan itu jelas dapat dilihat apabila rakyat Malaysia semakin terbuka membeli produk dari seluruh negara. Kek lapis Sarawak, kerongsang mutiara dari Sabah atau keropok lekor dari Terengganu bukan lagi hanya boleh dinikmati di negeri asal tetapi boleh ditempah terus ke pintu rumah pengguna dalam masa singkat.
Trend ini berkembang seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi capaian internet yang meluas serta sokongan logistik yang semakin cekap.
Usahawan kini tidak lagi bergantung kepada kedai fizikal atau pelanggan setempat untuk terus bertahan.
Platform seperti Shopee turut memainkan peranan penting dalam menjayakan transformasi ini dengan menghubungkan jutaan penjual tempatan kepada pelanggan dari seluruh negara.
Platform ini juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan termasuk siaran langsung, pusat pemenuhan logistik di pelbagai lokasi, sistem penghantaran yang pantas melalui rakan logistik seperti SPX Express, Pos Laju, J&T Cargo, DHL eCommerce dan Ninja Van serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan bagi memudahkan pengurusan kedai dan memberi maklum balas pantas kepada pelanggan.
Melalui ciri seperti siaran langsung kempen promosi serta integrasi penghantaran dan pembayaran yang efisien, platform ini membantu usahawan kecil membina kehadiran dalam talian dan memperluas pasaran mereka.
Sebagai contoh, Muhammad Faizz dari Terengganu berjaya menjual keropok lekor melalui siaran langsung Shopee Live dan meraih jualan melebihi RM500,000 dalam tempoh tiga bulan.
Faizz memanfaatkan teknologi serta sistem logistik yang tersusun bagi memenuhi permintaan pelanggan dari pelbagai negeri.
Manakala, Emilhan Mokhtar dari Sabah pula memulakan perniagaan kerongsang mutiara dengan modal permulaan RM2,000 dan kini mencatatkan jualan melebihi RM1.3 juta.
Sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada pengguna di Semenanjung yang tidak pernah mengetahui tentang produknya sebelum ini.
Kisah-kisah ini membuktikan e-dagang membuka lebih banyak peluang untuk usahawan kecil menyerlah di pasaran nasional tanpa perlu hadir di lokasi strategik secara fizikal.
Ia turut memperkukuh jaringan antara negeri dan memperkenalkan produk tempatan kepada khalayak yang lebih luas.
E-dagang kini menjadi pemacu ekonomi digital yang lebih terbuka dan inklusif, sekali gus menyatukan rakyat Malaysia melalui setiap urus niaga.
© New Straits Times Press (M) Bhd