zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang eksekutif jualan kerugian RM48,530 selepas terpedaya dengan penipuan tawaran kerja secara dalam talian.
Kejadian dipercayai bermula apabila wanita berusia 52 tahun itu melihat iklan kerja sampingan di laman Facebook pada 10 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan itu menekan pautan diberikan dan berurusan melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata, wanita terbabit kemudian diterangkan cara kerja iaitu cara menempah bilik hotel bagi meningkatkan penilaian hotel berkenaan.
“Untuk membuat tempahan itu, mangsa perlu membuat pembayaran dalam masa 10 minit sahaja sebelum dijanjikan wang tempahan itu akan dikembalikan lagi berserta dengan komisen selepas membuat pembayaran.
“Bagaimanapun, mangsa diminta melakukan bayaran kerana lambat untuk melakukan tugasan berkenaan sambil dimaklumkan komisen akan diberikan selepas bayaran dibuat.
“Sepanjang urusan dibuat, mangsa membuat membuat sembilan transaksi ke empat akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM48,530,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata, wanita terbabit mula merasa tertipu kerana masih diminta melakukan bayaran walaupun sudah banyak kali melakukan transaksi.
Katanya, mangsa yang merasa ditipu selepas tidak mendapat pulangan yang dijanjikan membuat laporan polis semalam.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




