Kuching: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) terus mempamer komitmen tinggi dalam menjamin keselamatan serantau menerusi pelaksanaan latihan bersama.
Latihan tahunan itu, Eksesais Malaysia-Brunei (MALBRU) Setia Siri 17/2025 dan Eksesais Meriam Katak (MERTAK) Bersatu Siri 15/2025 dilaksanakan secara serentak di tiga lokasi di Sarawak dan Sabah.
Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga lokasi latihan ialah di Kem Sri Miri, Hutan Simpan Lambir di Miri dan Lapang Sasar Kota Belud di Sabah.
“Latihan itu menampilkan kerjasama erat pasukan yang terbabit iaitu Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) dan Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
“Eksesais MALBRU juga meningkatkan keupayaan operasi ketenteraan bersama antara dua negara berjiran,” kata kenyataan itu.
Latihan bersama itu yang dilaksanakan sejak 8 September lalu melabuhkan tirai di Kampung Sungai Nakat, Lambir, semalam.
Ia dihadiri oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi bersama Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Aldi Hassan.
Turut hadir, Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Abd Aziz dan Panglima 31 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Azman Md Zain.
Kemuncak latihan menyaksikan fasa serangan akhir dua pasukan sahabat yang berjaya memusnahkan pangkalan musuh sebagai simbolik kejayaan misi bersama kedua-dua negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan taktikal.
Perbarisan penutup latihan yang diketuai oleh Pegawai Memerintah 20 RAMD, Leftenan Kolonel Mohd Izwan Ramli turut diadakan sebagai lambang disiplin dan semangat setia kawan ketenteraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




