Eksploitasi konsep tabarruk boleh bawa kesesatan

Eksploitasi konsep tabarruk boleh bawa kesesatan

 

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat sebuah syarikat perniagaan yang menggunakan label agama namun disyaki telah melakukan pelbagai bentuk jenayah, penipuan dan eksploitasi. Syarikat perniagaan ini didakwa mendoktrinasi pengikutnya dengan fahaman yang telah difatwakan sesat sebelum ini. Meskipun pengasas fahaman tersebut telah tiada, namun pengikut setianya dikatakan masih giat mengamalkannya secara bersembunyi di bawah nama syarikat perniagaan terbabit. 

 Jika tidak, masakan setelah beberapa dekad berlalu kita masih belum mendengar ada ulama yang lahir daripada kumpulan mereka. Malah, tidak diketahui siapakah ahli agama yang menjadi pakar rujuk mereka dalam bidang akidah, tafsir, hadis, fiqah dan sebagainya. Seolah-olah ilmu tidak menjadi keutamaan bagi mereka. Dikhuatiri apabila ilmu tidak ditekankan, maka kejahilan lebih mendominasi. 

 Justeru, tidak hairan sekiranya fahaman lama mereka masih menebal di dalam diri. Antara yang dilaporkan, mereka mempercayai adanya keberkatan pada pihak atasan yang didakwa dikurniakan pelbagai kelebihan kerana lebih dahulu beramal ibadah dan lebih berpengalaman dalam perjuangan mereka. Jika dahulu hanya seorang pemimpin sahaja yang dipuja, namun kini semua barisan pimpinan atasan mereka harus disanjung dan dipuja. Kononnya mereka mempunyai keberkatan dan para pengikut harus mengambil berkat (tabarruk) daripada mereka. 

 Demikian caranya para ahli didoktrinasi agar taksub kepada pemimpin. Lantaran itu, dilaporkan berlaku amalan ‘mengambil berkat’ dengan rambut, kuku, janggut, tisu, kain dan sebagainya yang diambil daripada barisan pemimpin atasan. Sebagaimana yang dimaklumi dalam sejarah Islam, kejahilan dan ketaksuban merupakan ramuan mujarab bagi melahirkan kesesatan. Hakikatnya, amalan mengambil berkat yang dilakukan oleh mereka jelas merupakan eksploitasi terhadap konsep  tabarruk  yang sebenar.  

 Memang ramai ulama mengharuskan mengambil berkat (tabarruk) dengan kesan peninggalan Nabi SAW mahu pun orang-orang soleh. Imam an-Nawawi dalam  Syarah Sahih Muslim  berkali-kali menyebutkan perkara ini. Antaranya, pada hadis ‘Abdullah mawla Asma’ binti Abi Bakar as-Siddiq RA yang menceritakan: “Beliau (Asma’ binti Abi Bakar) pernah mengeluarkan satu jubah  tailasan kisrawani  (gaya Kisra Parsi) yang mempunyai poket bertampalkan sutera dan kedua-dua lubangnya juga bertekat sutera. Beliau berkata: “Ini adalah jubah yang dulunya berada di sisi ‘A’isyah RA. Apabila beliau wafat, aku pun mengambilnya. Dahulu Rasulullah SAW pernah memakai jubah ini, maka kini kami membasuhnya untuk orang-orang yang sakit bagi berubat dengannya.” (Riwayat Muslim)  

 Kata Imam an-Nawawi dalam syarahnya: “Pada hadis ini terdapat dalil mustahab bertabarruk  dengan kesan peninggalan orang-orang soleh serta pakaian mereka.”

 Secara ringkas,  tabarruk  bermaksud mencari tambahan kebaikan atau mengharapkan terhasilnya kebaikan daripada Allah SWT melalui jalan sebab. Dalam erti kata lain,  tabarruk  bermaksud mencari keberkatan  (barakah) melalui jalan sebab yang boleh jadi berupa benda, makhluk, sesuatu atau makna yang Allah Taala istimewakannya dengan kelebihan tertentu. Ia adalah usaha mendapatkan keberkatan yang Allah SWT telah jadikan sebabnya pada makhluk-Nya yang tertentu seperti tiga buah Tanah Suci dan air zamzam, atau pada hamba-Nya yang soleh seperti para Nabi AS dan orang-orang soleh, termasuk kesan peninggalan mereka. (Rujuk:  at-Tabarruk bi as-Solihin Bayna al-Mujizin wa al-Mani’in  oleh Syeikh ‘Abdul Fattah al-Yafi’i, 2010)  

 Terdapat banyak kisah para salafussoleh dan ulama muktabar melakukan amalan  tabarruk  seperti yang boleh dirujuk dalam kitab  al-Barakah wa al-Tabarruk min Zahabiyyat al-Hafiz az-Zahabi  oleh Sayyidah Khadijah al-Idrisiyyah (2002). 

 Namun persoalannya, siapakah yang mengesahkan bahawa barisan kepemimpinan atasan syarikat perniagaan tersebut merupakan orang-orang yang soleh? Padahal, pengesahan mengenai kesolehan seseorang hanya boleh diketahui sekurang-kurangnya melalui dua cara. Pertama, orang tersebut memang sudah masyhur secara luas dalam kalangan umat Islam bahawa ia merupakan orang yang soleh, warak dan benar. Kedua, orang tersebut diperakui sebagai soleh oleh ulama yang ahli dan dipercayai. Ini adalah kaedah yang sama disebutkan dalam kitab-kitab  ‘ulum al-hadith  bagi mengenal pasti sifat adil seseorang perawi hadis. 

 Jika tidak ada satu pun daripada dua cara ini, maka kita hanya boleh mengatakan bahawa seseorang itu sekadar muslim biasa. Kedua-dua cara ini jelas tidak terbukti pada seorang pun daripada barisan kepemimpinan atasan syarikat perniagaan terbabit. Secara zahir, mereka telah mengeksploitasi konsep  tabarruk  yang sebenar. Malah, dikhuatiri mereka telah menukarkan amalan tersebut menjadi satu bentuk ‘sihir pengasih’ apabila ia dilakukan dengan niat seumpama itu dan para pengikut pula diarahkan wajib untuk ‘mengambil berkat.’ Tentunya ini lari begitu jauh daripada konsep  tabarruk yang dibolehkan. 

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Universiti Islam Selangor (UIS)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top