Eksport barang mainan China catat USD 33.5 bilion pada 2020

(Gambar Bernama)

BEIJING: Eksport barang mainan China berjumlah USD 33.49 bilion (RM138.41 bilion) pada 2020, meningkat 7.5% berbanding tahun sebelumnya.

Pada masa sama, jumlah jualan runcit barang mainan di pasaran domestik mencatat RMB77.97 bilion (RM49.2 bilion), meningkat 2.6%, memetik data statistik Persatuan Barang Mainan dan Barang Kegunaan Bayi dan Kanak-kanak yang diumumkan baru-baru ini.

Penganalisis berpendapat pandemik Covid-19 telah merangsang permintaan pengguna terhadap barang-barang tersebut khususnya di pasaran luar negara.

Menurut pegawai persatuan tersebut, jumlah eksport barang mainan China telah merekodkan peningkatan selama lima tahun berturut-turut.

Eksport barang mainan China terjejas akibat penularan wabak pada setengah tahun pertama tahun lalu.

Seiring dengan situasi wabak yang kian reda dan ekonomi semakin pulih, eksport barang mainan China mencatat peningkatan pada separuh kedua tahun 2020.

Menurut statistik, Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pasaran paling besar bagi eksport barang mainan China.

Antara 10 pasaran terbesar eksport barang mainan China, termasuk Jepun, Singapura, Rusia, Korea Selatan, Arab Saudi dan Malaysia masing-masing meningkat lebih daripada 10%.