lizamridzuan@hmetro.com.my
SENTIASA sibuk dengan kerjaya tidak menghalang wanita ini untuk mengimbangi kehidupannya dengan menyertai aktiviti yang diminati sejak kecil.
Tidak lain, menari dan menyanyi dilihat begitu dekat dengan jiwa dan muzik irama Latin pula menjadi kegemaran Liyana Abdullah, 41.
Dia juga sering mengadakan persembahan bersama pemuzik untuk peminat irama Latin di negara ini.
Mahu menikmati kehidupan dengan konsep ‘work life balance,’ membuatkan dia percaya nyanyian dan tarian memberikan lebih ruang untuk ekspresi diri serta bakat sedia ada.
“Terutama membabitkan tarian Latin terdiri daripada pelbagai genre seperti salsa, bachata dan merengue, ia seronok untuk dilakukan dengan gerakan yang bertenaga serta intim.
“Saya tidak mempunyai pendidikan yang formal untuk tarian dan kebanyakan belajar daripada pemerhatian dan media sosial serta tunjuk ajar teman-teman,” katanya.
Liyana berkata, bagi orang Amerika Latin di Malaysia, saban tahun diadakan Festival Amerika Latin dan ia sudah memasuki edisi ke-15 pada Oktober lalu yang diadakan di Kuala Lumpur.
“Pelbagai aktiviti menarik mengenai budaya, makanan dan tarian diadakan di sepanjang acara yang memperlihat kemeriahan serta kesenian budaya yang tinggi nilainya anjuran bersama pejabat kedutaan negara berkaitan.
“Kini saya bersama band Havana Jazz Tumbao dan kami biasanya melakukan persembahan setiap hujung minggu dan menyasarkan untuk ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan dalam mengembangkan bakat nyanyian,” katanya.
Dia menggemari lagu-lagu Latin kerana mempunyai lirik dan melodi yang indah selain terdapat penceritaan di dalam setiap lagu.
Malah Liyana juga menyanyikan lagu Sinaran dari Datuk Sheila Majid dalam versi latin yang sangat digemari penonton yang menjadikan ia rapat dengan peminatnya.
Mengenai perkembangan lain, Festival Bachata Dunia 2024 yang berlangsung di Malaysia minggu lalu adalah acara mengumpulkan peminat dan pemuzik Latin dari seluruh dunia di negara ini antara yang dinantikan Liyana.
“Ia menawarkan banyak sekali aktiviti seperti persembahan, bengkel tarian dan pelbagai program berkaitan bachata dapat disertai selain pendedahan yang baik buat dirinya.
“Saya juga berpeluang melakukan persembahan di pentas terbuka dengan menyertai Ombak Festival 2024 yang diadakan di Desaru baru-baru ini iaitu salah satu laras baharu buatnya dalam dunia persembahan,” Ketua Pegawai Eksekutif, The Glass AutoSpa iaitu penyedia perkhidmatan kemasan dan cucian kenderaan premium itu.
Selain itu, situasi Liyana yang pernah tinggal di Portugal sekitar 2015 dan sering berkunjung ke Sepanyol lalu terpesona dengan landskap budaya serta bahasanya.
“Di sana tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris lalu untuk memudahkan pergaulan dan urusan seharian saya perlu pantas menguasai bahasa Sepanyol dan semakin hari semakin fasih ketika berada di sana.
“Meskipun di Portugal pula menggunakan asas kosa kata yang sama menerusi bahasa Portugis namun masih terdapat perbezaan daripada segi sebutan dan bunyi dan lebih kompleks berbanding Sepanyol,” katanya meminati muzik reggaeton.
Mengenai kerjayanya itu, ia adalah perniagaan diusahakan bersama rakan kongsi sejak dua tahun lalu lebih kepada konsep perniagaan ke perniagaan (B2B).
“Bidang kerjanya yang dimonopoli kaum lelaki sudah pasti mempunyai cabaran tersendiri.
“Meskipun saya adalah satu-satunya wanita di dalam syarikat untuk operasi, namun mereka memberikan kerjasama yang baik dalam kelancaran operasi seharian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




