Kuala Lumpur: Sepanjang suku kedua 2025, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan mencatat RM13.77 bilion, meningkat 35 peratus berbanding RM10.23 bilion pada suku kedua 2024.
Pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti global memberi peluang kepada pengurus dana KWSP untuk menjana keuntungan dan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.
Ekuiti menyumbang 67 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini.
Instrumen pendapatan tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal, menjana RM6.73 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ini.
Kelas aset ini, yang merangkumi sekuriti kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, terus memberikan pulangan yang stabil dan membantu mengurangkan kesan turun naik dalam pasaran ekuiti.
Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.29 bilion pada suku kedua 2025.
Selaras dengan pendekatan pelaburan jangka panjang KWSP bagi kelas aset ini, pergerakan mata wang mempunyai kesan minimum terhadap pulangan sebenar dalam tempoh masa tertentu.
Kesan serupa turut dialami instrumen pasaran wang, yang sebahagian besarnya didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, turut terjejas daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2025, dan menyebabkan kerugian sebanyak RM0.18 bilion selepas pertukaran mata wang, kata KWSP.
Daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan bagi suku kedua 2025, sebanyak RM17.39 bilion dijana untuk simpanan konvensional dan RM3.22 bilion untuk simpanan shariah.
Sehingga 30 Jun 2025, jumlah aset pelaburan berjumlah RM1.31 trilion, meningkat 8.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Pelaburan antarabangsa merangkumi 39 peratus daripada jumlah aset, dengan peningkatan ini sebahagiannya mencerminkan penilaian yang lebih baik dalam pasaran ekuiti global.
Sepanjang suku kedua 2025, pelaburan antarabangsa menjana sebanyak RM12.92 bilion atau 63 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Selaras dengan komitmennya terhadap pembangunan negara, KWSP terus memberi tumpuan kepada pelaburan domestik, menyokong sektor-sektor penting untuk pertumbuhan jangka panjang Malaysia di bawah agenda Ekonomi MADANI.
© New Straits Times Press (M) Bhd




