El Azman Tepis Dakwaan Bisnes Rugi Gara-Gara Ambil Fattah Amin Jadi Duta

El Azman Tepis Dakwaan Bisnes Rugi Gara-Gara Ambil Fattah Amin Jadi Duta

Usahawan popular dan pempengaruh, El Azman menepis dakwaan kononnya perniagaan baju Melayu miliknya mengalami kerugian selepas melantik pelakon popular Fattah Amin sebagai duta jenama.

El yang juga pengasas Elrah berkata, syarikatnya sebaliknya merekodkan peningkatan keuntungan yang lebih besar susulan penglibatan Fattah bersama beberapa lagi duta lain.

Antara selebriti dan figura yang turut menjadi wajah jenama itu ialah jaguh Muay Thai, Johan Ghazali bersama keluarga, penyanyi Joe Flizzow, pempengaruh media sosial Aya Balqis serta pemain bola sepak Arif Aiman.

“Memang tidak benar sama sekali. Sebelum ini ada pihak di Threads yang mendakwa jenama kami akan mengalami kerugian besar tahun ini kerana mengambil Fattah Amin sebagai duta.

“Namun perkara itu langsung tidak berlaku. Malah tahun ini jenama kami merekodkan keuntungan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Untuk makluman, inilah kali pertama jualan butik kami meningkat sehingga 100 peratus sepanjang lima tahun beroperasi. Semua duta yang kami pilih memang memberi impak yang sangat baik,” katanya.

Ketika diminta mengulas tentang peribadi Fattah, El menyifatkan aktor itu sebagai seorang yang baik dan mudah memberikan kerjasama.

“Fattah ada kelompok penyokongnya sendiri. Sejak saya umumkan dia sebagai duta, memang ramai yang memberikan sokongan dan membeli baju Elrah.

“Dia seorang lelaki yang sangat baik. Jika sebelum ini Elrah berdepan boikot, keadaan itu berubah selepas kami mengambil Fattah sebagai duta.

“Memang mudah untuk bekerjasama dengan Fattah,” katanya.

Scroll to Top