SENGAJA melewat-lewatkan haji dalam keadaan diri mampu tanpa sebab yang dibenarkan oleh agama boleh menjadi suatu dosa.
Peringatan itu ditujukan kepada segelintir umat Islam yang berkemampuan, namun masih melengah-lengahkan pelaksanaan Rukun Islam kelima itu.
Masakan tidak, peluang berharga sebagai tetamu ALLAH sengaja diabaikan begitu sahaja, sedangkan ibadah haji adalah kewajipan yang mesti ditunaikan apabila seseorang itu telah mencukupi syarat-syaratnya.
Jabatan Mufti Negeri Pahang mengingatkan, kewajipan mengerjakan ibadah haji tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam yang telah memiliki keupayaan, baik dari segi kewangan mahupun aspek-aspek lain.

KEWAJIPAN mengerjakan ibadah haji tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam yang telah memiliki keupayaan, baik dari segi kewangan mahupun aspek-aspek lain. -Foto: CANVA
Firman ALLAH SWT: “Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali ‘Imran: 97)
Berdasarkan ayat itu, jelaslah bahawa keupayaan atau istito’ah bukan hanya bermaksud memiliki wang semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kemudahan mendapat visa haji sah, fizikal yang sihat, keselamatan perjalanan dan peluang yang dibenarkan untuk menunaikan haji.
Mulakan langkah segera
Justeru, khatib menyeru umat Islam yang belum menunaikan ibadah haji agar perlu segera mengambil langkah awal dengan mendaftarkan diri melalui Lembaga Tabung Haji.
“Ibadah haji diwajibkan sekali seumur hidup, namun masih terdapat dalam kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat dengan kewajipannya.
“Mulakan langkah dengan mendaftarkan diri bagi menunaikan haji dengan pihak Lembaga Tabung Haji kerana pendaftaran boleh dibuat dengan simpanan serendah RM1,300,” kata khatib sepertimana dipetik menerusi khutbah Jumaat bertajuk ‘Ibadah Haji’ yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jumaat lalu.
Pada masa sama, khatib turut memetik pesanan Rasulullah SAW yang bersabda: “Telah diwajibkan atas kamu ibadah haji, maka tunaikanlah (ibadah haji tersebut).” (Hadis Riwayat Muslim)

UMAT Islam yang belum menunaikan ibadah haji perlu segera mengambil langkah awal dengan mendaftarkan diri melalui Lembaga Tabung Haji. -Gambar hiasan
Menerusi teks khutbah itu, jabatan mufti tersebut turut mengingatkan, sesiapa yang melewatkan haji dalam keadaan dia mampu, kemudian meninggal dunia tanpa menunaikannya, maka dia mati dalam keadaan berdosa kerana kecuaiannya.
Ia sebagaimana dijelaskan oleh Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Majmuk.
Namun begitu, khatib turut mengingatkan agar umat Islam lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sindiket penipuan ibadah haji yang semakin berani menawarkan pakej palsu atau janji kuota tidak sah.
“Rujuklah kepada pihak Lembaga Tabung Haji bagi mengesahkan syarikat pengendali serta tawaran tersebut. Langkah-langkah keselamatan tersebut mampu mengelakkan para jemaah terjebak dengan sindiket penipuan,” kata khatib lagi.
Benar, ramai yang mendambakan untuk menjadi tetamu ALLAH kerana banyak kelebihan dan kenangan indah terakam dalam perjalanan agung itu.
Apatah lagi, Rukun Islam kelima itu menjadi kemuncak ibadah yang membawa seseorang dekat kepada ALLAH, jauh daripada segala urusan duniawi.
Peluang itu menjadikan jiwa kembali tunduk, bersih dan penuh rasa kehambaan.
“Ibadah haji membawa seseorang Muslim berada dalam suasana pengabdian dan penyerahan diri kepada ALLAH SWT sepanjang masa.
“Tumpuan kita di Tanah Suci hanya untuk beribadah tanpa menyibukkan diri dengan kehidupan duniawi dan harta benda,” kata khatib.
Jadikan haji sebagai keutaman
Seperkara lagi, jelas Jabatan Mufti Negeri Pahang, mereka yang terpilih menunaikan haji juga dianggap tetamu ALLAH yang sangat dimuliakan.

ISTITO’AH bukan hanya bermaksud memiliki wang semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kemudahan mendapat visa haji sah, fizikal yang sihat, keselamatan perjalanan dan peluang yang dibenarkan untuk menunaikan haji. -Foto: CANVA
“Orang yang pergi haji dan umrah ialah tetamu ALLAH SWT. Jika mereka memohon kepada ALLAH, maka DIA akan mengabulkannya dan jika mereka meminta ampun kepada ALLAH, maka DIA akan mengampuninya,” jelas khatib.
Lebih istimewa, haji mabrur pula dijanjikan ganjaran paling agung iaitu syurga berdasarkan hadis riwayat Imam Al-Bukhari.
Sebagai penutup, jabatan mufti itu mengingatkan agar kita menjadikan ibadah haji sebagai satu keutamaan dalam kehidupan andai diri berkemampuan kerana sengaja menangguhkannya adalah berdosa.
Namun, jangan kerana terlalu mengejar ibadah itu hinggakan kita tidak peka dan berhati-hati dengan tawaran ibadah haji daripada pihak tidak bertanggungjawab.
“Marilah kita berniat, berazam dan berdoa agar dapat menunaikan ibadah haji kerana ia adalah salah satu Rukun Islam.
“Dengan menunaikannya, kita akan merasai kedudukan sebagai hamba ALLAH SWT yang perlu beribadah kepada-NYA setiap masa.
“Ibadah haji juga membina semangat perpaduan dan persaudaraan sesama Islam tanpa mengira darjat serta kedudukan,” kata khatib.
*Teks khutbah Jumaat disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang dan disiarkan melalui laman web jabatan berkenaan.