Elak lakukan aktiviti air di pantai

Elak lakukan aktiviti air di pantai

am@hmetro.com.my

Kuantan: Pengunjung pantai di daerah ini, Pekan dan Rompin dinasihati mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tidak melakukan sebarang aktiviti air terutama mandi bagi mengelak kejadian tidak diingini sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata larangan adalah susulan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Malaysia sehingga 6 Januari ini.

Katanya, sehubungan itu pengunjung terutama ibu bapa yang membawa anak-anak supaya mengelak berada di tepi pantai.

“Berdasarkan laporan MetMalaysia, angin kencang antara 40 dan 60 kilometer sejam manakala ketinggian ombak antara tiga dan empat meter.

“Oleh itu, bagi mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini, sebarang aktiviti air di pantai tidak dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, anggota pasukan penyelamat pantai ditempatkan di beberapa pantai yang menjadi tumpuan ramai serta yang berisiko serta dilakukan pemantauan dari semasa ke semasa sepanjang MTL di daerah ini antaranya Pantai Cherating, Batu Hitam, Teluk Cempedak, Sepat manakala di Pekan pula Pantai Legenda dan Pantai Hiburan di Rompin.

Sementara itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa Kawasan di Pahang membabitkan daerah Raub, Bentong dan Bera, hari ini.

Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan seramai 74 mangsa banjir daripada 15 keluarga berada di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Ulu Atok, Raub, hari ini.

Mereka berpindah susulan air sungai melimpah di kawasan berkenaan berikutan hujan lebat sejak semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top