Elak malapetaka kemanusiaan di Myanmar – Utusan Digital

YANGON: Pergolakan politik yang berlaku di Myanmar sejak Februari lalu menyebabkan hampir 250,000 penduduknya kehilangan tempat tinggal dan kehidupan mereka terjejas.

Wakil Khas Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Myanmar, Tom Andrews berkata, dunia perlu bertindak segera bagi mengelakkan ‘malapetaka kemanusiaan’ berlaku di negara ini.

“Serangan junta terhadap penunjuk perasaan serta penduduk awam menyaksikan hampir suku juta penduduk Myanmar terjejas dan situasi itu amat menakutkan,” katanya.

Menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik Myanmar (AAPP), sekurang-kurangnya 738 orang terbunuh dan 3,300 ditahan dalam penjara.

Jurucakap Kesatuan Karen Kebangsaan, Padoh Mann Mann berkata, lebih 2,000 penduduk etnik Karen merentasi sempadan negara untuk melarikan diri ke Thailand, manakala ribuan lagi tidak mempunyai tempat tinggal tetap.

“Semuanya takut untuk pulang ke kampung masing-masing kerana khuatir menjadi mangsa kekerasan junta tentera.

“Ketika ini, kebanyakannya bersembunyi di dalam hutan berhampiran perkampungan mereka,” ujarnya.

Selain itu, Renjer Kebebasan Burma menganggarkan sekurang-kurangnya 24,000 penduduk hilang tempat berlindung di negeri Karen susulan serangan bom dan udara yang dilancarkan tentera Myanmar.

Pengarahnya, David Eubank berkata, biarpun serangan udara sudah dihentikan, ancaman di darat masih ada dan penduduk berasa takut untuk pulang ke rumah mereka.

“Kebanyakan penduduk yang terjejas adalah golongan pesawah dan mereka bakal berdepan dengan kekurangan bekalan makanan jika tidak dapat pulang ke rumah dan mengusahakan tanaman.

“Ada sesetengah penduduk yang berlindung di dalam gua dan di bawah pokok pisang. Keadaan itu amat daif,” tegasnya.

Scroll to Top