Elak naratif yang boleh undang konflik bila Enakmen Kanun Jenayah Syariah dibawa semula ke DUN Kelantan

Elak naratif yang boleh undang konflik bila Enakmen Kanun Jenayah Syariah dibawa semula ke DUN Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap tiada lagi pihak membawa naratif yang boleh menimbulkan konflik apabila 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang sebelum ini terbatal dibawa semula ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Daud berkata, langkah itu susulan DUN Kelantan sebulat suara meluluskan usul penggubalan semula enakmen tersebut.

“Kadangkala berkalu kekeliruan dalam naratif disebabkan oleh parti politik. Hal ini kerana ahli-ahli terpaksa mengikut naratif pucuk pimpinan parti masing-masing.

“Sekarang ini kita mahu mengelak daripada berlaku sebarang konflik. Jika semua pihak tidak membawa naratif salah, maka tidak akan timbul sebarang isu,” katanya kepada pemberita selepas selepas persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd. Asri memberitahu, kerajaan negeri akan terus memperkasa dan mempertahankan undang-undang syariah sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Sebagai rakyat kita tidak boleh bercanggah dengan tuanku yang merupakan ketua Agama Islam di negeri ini. Apatah lagi sebagai pemimpin dan penggubal undang-undang, kita tidak sepatutnya mempunyai pemikiran sebegitu.

“Kerajaan negeri telah membentuk Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu berkata, jawatankuasa itu  berfungsi membincangkan kesemua 16 perkara termasuk seksyen dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dilihat bercanggah dengan undang-undang persekutuan.

Katanya, langkah itu supaya percanggahan tersebut dapat di harmonikan.-UTUSAN