Elak rakam video gajah liar jarak dekat

Elak rakam video gajah liar jarak dekat

bhnews@bh.com.my

KOTA TINGGI: Pengguna jalan raya di laluan Kota Tinggi ke Mersing yang terserempak dengan gajah liar diminta tidak merakam gambar atau video di jarak dekat atau menggunakan lampu ‘flash’ kamera kerana perbuatan berkenaan boleh mengundang bahaya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban, berkata orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak sembarangan atau berlagak berani apabila terserempak dengan gajah liar.

Beliau berkata, cara terbaik ialah dengan menjauhkan diri serta merta dan tidak cuba memprovokasi gajah terbabit.

Katanya, gajah tidak akan menyerang manusia jika ia tidak diganggu atau tidak merasa diancam.

“Penggunaan lampu flash kamera akan menarik perhatian gajah yang mungkin akan menyerang dan pastikan berada di jarak selamat ketika merakam gambar.

“Jika terlihat gajah cuba menyeberangi jalan, berikan laluan kepadanya untuk melintas dengan selamat dan jangan cuba hampirinya walaupun berada di dalam kenderaan,” katanya.

Kehadiran gajah di Jalan Kota Tinggi-Mersing terutamanya di Batu 4 hingga Batu 14 adalah kawasan lintasan kumpulan gajah dari Panti.

Gajah terbabit bergerak dari Hutan Simpan Panti ke kawasan pertanian di seberang jalan (Jalan Kota Tinggi-Mersing) untuk mencari makanan terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

Terdapat kira-kira 20 papan tanda amaran lintasan hidupan liar dipasang di kiri dan kanan jalan berkenaan untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya.

Pagi ini, tular video berdurasi 18 saat di media sosial.

Rakaman video daripada pengguna jalan raya itu yang menunjukkan gajah melintasi Jalan Kota Tinggi-Mersing hingga kenderaan berhenti dan berundur bagi memberi laluan kepadanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top