Elak warga asing ambil kesempatan

Elak warga asing ambil kesempatan

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, rakyat dikejutkan dengan gambar tular mengenai sebuah kenderaan bernombor plat pendaftaran Singapura yang mengisi minyak petrol berwarna kuning yang disyaki RON95.

RON95 dijual RM2.05 seliter di Malaysia berbanding di Singapura sebanyak 3.02 dolar Singapura (SGD) atau RM9.37 seliter.

Warga asing turut mengambil kesempatan menikmati harga barang yang disubsidikan oleh kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memandang serius perbuatan tersebut dan mahu siasatan dilakukan.

Selain minyak, ada beberapa lagi barangan pengguna yang dijual dengan harga subsidi seperti beras, minyak masak, gula pasir, tepung gandum dan gas petroleum cecair (LPG).

Barangan tersebut ditanggung kos pengangkutan oleh kerajaan ke kawasan luar bandar supaya penduduk dapat menikmati barangan tersebut pada harga sama dengan yang dinikmati keluarga di bandar.

Dalam pada itu, kerajaan turut rugi berbilion ringgit akibat penyeludupan minyak masak ke Thailand.

Selain itu, kegiatan menjual minyak diesel bersubsidi dan LPG pada harga bukan subsidi menyebabkan kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit dan telah memberikan keuntungan atas angin kepada penjenayah perdagangan ini.

Persoalannya, sampai bila kegiatan haram ini akan berlaku dan mengapa ia tidak dapat dihapuskan kerana boleh memberi kesan kepada ekonomi negara dan menggagalkan usaha kerajaan untuk membela golongan sasar.

Antara sebab berlakunya penyelewengan barangan bersubsidi ini kemungkinan disebabkan KPDNHEP kekurangan kakitangan untuk memantau kilang atau premis haram di serata pelosok negara.

Selain itu, kegiatan haram yang berselindung di sebalik rumah penduduk sukar untuk dihidu dan dikesan oleh pihak berkuasa.

Mereka sangat licik mengaburi pihak berkuasa dan ada yang telah menjalankan perniagaan haram ini bertahun-tahun lamanya.

Sudah sampai masanya rakyat menjadi mata dan telinga dalam membanteras kegiatan penyelewengan barangan subsidi ini. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh