Elakkan bergaduh, pengurusan harta Islam kaedah terbaik

Elakkan bergaduh, pengurusan harta Islam kaedah terbaik

SERINGKALI kita mendengar kes yang berlaku dalam masyarakat apabila anak-anak membina rumah di atas tanah orang tuanya terutamanya di kampung dan pinggir bandar.

Masakan tidak, ibu bapa mempunyai tanah yang luas dan mereka berhasrat untuk tinggal berdekatan dengan anak-anak mereka.

Perancang Harta Pusaka, As Salihin Trustee Berhad, Ustaz Fadzli Rozali menjelaskan, perselisihan dan pergaduhan biasanya berlaku selepas kematian orang tua dan ahli-ahli waris tidak mempunyai pengetahuan mengenai pengurusan harta pusaka dalam Islam.

USTAZ FADZLI

USTAZ FADZLI

“Mereka tahu pembahagian harta pusaka atau faraid ini adalah wajib namun ada sebahagian daripadanya tidak mahu melaksanakannya mengikut hukum faraid tersebut.

“Menurut sesetengah daripada mereka, pembahagian secara sama rata lebih adil bagi semua ahli waris yang layak atau ada sesetengah lain pula mereka mempunyai formula sendiri untuk membahagikannya,” ujarnya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Perlu tahu jumlah harta, nilai sebelum lepaskan hak

Menurutnya, sebenarnya pembahagian mengikut pecahan satu perdua, satu pertiga, dua pertiga, satu perempat, satu perenam dan satu perlapan adalah sebahagian daripada hukum faraid, bahkan ada kaedah di dalam faraid sekiranya ada ahli waris bersetuju untuk melepaskan hak mereka.

“Namun perlu diingatkan bahawa semua ahli waris yang ada hak perlu mengetahui bahagian yang mereka dapat daripada harta pusaka terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk melepaskan haknya itu kepada ahli waris yang lain.

“Sebagai contoh, ahli waris bukan sahaja perlu mengetahui berapa pecahan yang dia dapat, dia juga perlu dimaklumkan mengenai semua harta dan nilai kesemuanya selain mengetahui nilai yang dia berhak peroleh daripadanya.

“Ada sesetengah kes, ahli waris yang ingin melepaskan hak untuk pembahagian sama rata ini tidak mengetahui pun berapa jumlah semua harta dan berapa yang dia dapat melainkan dia hanya tahu akan mendapat sama rata dengan waris-waris lain,” jelasnya yang juga merupakan Exco Pertubuhan Perunding dan Pengamal Faraid Malaysia (PPFM).

PENTING untuk mengetahui ilmu pengurusan harta pusaka atau mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding harta pusaka. Foto Canva

PENTING untuk mengetahui ilmu pengurusan harta pusaka atau mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding harta pusaka. Foto Canva

Ujarnya, jika semua ahli waris telah mengetahui jumlah harta dan berapa nilai yang diperoleh, barulah mereka boleh melepaskan hak mereka kepada ahli waris yang lain dengan ilmu dan keredaan.

“Sekiranya ada ahli waris tidak bersetuju dengan pembahagian sama rata yang diinginkan majoriti, maka dia berhak untuk mendapatkan haknya itu mengikut hukum faraid dan bukannya dipaksa untuk bersetuju dengan ahli waris lain,” katanya.

Pelbagai penyelesaian, perlu berbincang dan muafakat

Merujuk kepada kes bina rumah di atas tanah orang tua, perkara tersebut juga perlu melalui proses ditetapkan Islam.

“Dalam Islam, hukum membina bangunan di atas tanah orang lain seperti kes Puan Hasnah, ada kaedah yang boleh diselesaikan sekiranya dari awal mereka mengetahui konsep pengurusan harta dalam Islam.

“Pertama, Puan Hasnah boleh merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan status tanah yang diberikan ibu mentuanya itu.

“Setelah disahkan mahkamah bahawa telah berlaku hibah atau wasiat, maka tanah atau sebahagian dari tanah tersebut bukan lagi pusaka ibu mentua kerana telah dihibahkan. Tidak jatuh hukum faraid ke atasnya,” hurainya.

Penyelesaian yang kedua katanya, Puan Hasnah boleh menebus hak ahli waris yang layak dengan membayar nilai hartanah tersebut kepada mereka.

“Ketiga, ahli waris perlu membayar ganti rugi rumah tersebut kepada Puan Hasnah sekiranya dia berkeras mahukan tanah tersebut.

“Apa yang penting di sini adalah muafakat dalam perbincangan dan melihat aspek kezaliman kepada anak-anak yatim itu sekiranya lambat menyelesaikannya,” katanya.

PEMBAHAGIAN harta pusaka wajib segera dilaksanakan lebih-lebih lagi melibatkan anak-anak yatim. Foto Canva

PEMBAHAGIAN harta pusaka wajib segera dilaksanakan lebih-lebih lagi melibatkan anak-anak yatim. Foto Canva

Pemegang tauliah mengajar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pengkhususan pengurusan harta pusaka Islam itu menambah, sebaik-baiknya pengurusan harta pusaka si mati perlu dilakukan secepat mungkin agar kewajipan terhadapnya tidak ditangguh-tangguhkan.

“Implikasi kepada penangguhan tersebut boleh menyebabkan banyak perkara berlaku termasuk ahli waris menggunakannya secara batil, kos pengurusan meningkat, harta atau aset tidak dijaga dengan baik dan sebagainya.

“Tiada istilah tanah kubur masih merah. Kewajipan tidak akan gugur selagi mana ia tidak dilaksanakan.

“Apa yang lebih memburukkan keadaan sekiranya tidak dilakukan dengan segera ialah kematian ahli waris yang sah sehingga ia menjadi kematian yang berlapis dan boleh menyebabkan pengurusannya juga semakin sukar serta harta dibekukan,” katanya.

Scroll to Top