MADRID: Pemain gantian Manchester United, Anthony Elanga menyelamatkan pasukannya apabila menjaringkan gol penyamaan pada pusingan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid sebentar tadi.
Pemain berusia 19 tahun itu meledak hasil sentuhan pertamanya lima minit selepas dimasukkan bagi memberikan pasukan Liga Perdama itu keputusan seri 1-1 selepas tuan rumah mendominasi aksi.
“Saya sentiasa mengimpikan saat seperti ini, menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara berdepan pasukan handalan seperti Atletico Madrid,” kata Elanga kepada BT Sport.
“Apabila saya mendapat peluang buat kelab, saya hanya mahu membalas kepercayaan ditunjukkan pengurus.”
Gol Elanga ialah dari cubaan pertama United dalam perlawanan itu, penyudah tepat ke penjuru selepas menerima hantaran Bruno Fernandes.
“Saya amat tenang. Saya hanya mahu memberikan 150 peratus apabila saya memijak padang. Saya sentiasa katakan kepada diri sendiri saya mahu menjadi pemain terbaik di atas padang,” kata Elanga.
“Kami tidak bermain bola sepak yang bagus pada babak pertama, tetapi pertukaran dibuat meningkatkan sedikit permainan. (Pengurus Ralf Rangnick) memberitahu saya untuk menakutkan pertahanan dan apabila dapat peluang, segera ambil.”
Elanga menjadi penjaring gol termuda United pada peringkat kalah mati Liga Juara- Juara pada usia 19 tahun 302 hari.
Rangnick gembira menyaksikan persembahan Elanga.
“Dia bermain sangat bagus, seronok dan gembira melihatnya, saya harap beberapa pemain akan menjadikannya sebagai contoh dan model ikutan,” kata pengendali dari Jerman itu. – REUTERS
© New Straits Times Press (M) Bhd




