lizamridzuan@hmetro.com.my
DI tengah-tengah ledakan kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan, segmen plug-in hybrid (PHEV) tampil sebagai pilihan alternatif yang praktikal menggabungkan enjin pembakaran dalaman (ICE), teknologi hibrid dan keupayaan pemanduan elektrik sepenuhnya.
Antara model terbaharu yang membawa konsep ini ke tahap lebih tinggi ialah Mercedes-Benz GLC 350 e 4Matic, dilancarkan untuk pasaran Malaysia tahun lalu bagi menggantikan GLC 300, kini dengan suntikan elektrifikasi penuh gaya dan Vroom berpeluang memandu uji baru-baru ini.
Untuk pandangan pertama, GLC 350 e 4Matic memancarkan aura sporty menerusi kit badan AMG Lines serta bahagian hadapan diserlahkan dengan lampu digital LED konsep rekan tajam, gril ‘signature’ Mercedes, kemasan piano black, tangga sisi serta rim aloi AMG 20 inci yang menambah karakter agresif.
Bahagian belakang pula tampil kemas dengan lampu LED, dwiekzos, bampar krom, rel bumbung dan port pengecasan yang terletak di sisi belakang untuk akses mudah kepada pemandu.
Menjengah ke ruang dalam sentuhan elegan terus terasa dengan tumpuan kepada skrin infotainment MBUX 11.9 inci menegak mendominasi konsol tengah dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Sistem audio premium Burmester 3D dengan 13 pembesar suara memastikan pengalaman bunyi tiada tandingan dan untuk pemandu, paparan meter digital 12.3 inci, kerusi balutan Artico dan Microcut dengan larasan elektrik dan fungsi memori pada kerusi, stereng dan pedal AMG serta bumbung panorama dengan pelindung cahaya larasan elektrik, semuanya hadir sebagai standard.
Tidak ketinggalan pengecas telefon pintar di konsol tengah dan port pengecasan tambahan untuk penumpang belakang memastikan setiap peranti tidak akan kehilangan kuasa dan pada malam hari, lampu suasana dalam kabin menjadikan keadaan tampil santai lagi menarik.
Untuk ruang but berkapasiti 490 liter adalah sedikit kecil berbanding GLC 300 (620 liter) kerana penempatan bateri PHEV, namun masih praktikal untuk kegunaan harian.
Model ini dipacu oleh enjin 1,999 cc, 4-silinder turbo twin-scroll yang menghasilkan 204PS dan 320Nm dan dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 100kW (135 PS, 440Nm), ia memberikan output gabungan 313 PS dan 550Nm.
Hasilnya, pecutan 0 hingga100km/j hanya mengambil 6.7 saat adalah prestasi mantap untuk sebuah SUV mewah sebegini dan bateri 25.4kWh membolehkan jarak pemanduan elektrik mencecah 120 hingga 130km (WLTP) menggunakan pengecas AC 11kW, penuh dalam sekitar satu jam.
Penulis sering memandu dalam mod EV, dengan enjin petrol tidak berfungsi langsung, sesuai untuk perjalanan bandar atau jarak sederhana dan apabila kehabisan bateri, sistem secara automatik beralih ke Auto Hybrid Mode.
Ada juga fungsi ‘Battery Hold Mode’ (kekalkan paras bateri) dan ‘Sport Mode’ yang menggabungkan kuasa enjin dan motor elektrik untuk prestasi maksimum. Transmisi 9G-Tronic bersama sistem pacuan semua roda 4Matic dan suspensi belakang udara adaptif memberikan pemanduan lancar, stabil dan responsif.
GLC 350 e 4Matic turut dilengkapi ‘Driving Assistance Package’ merangkumi ‘Active Distance Assist DISTRONIC’, ‘Active Lane Keeping Assist’, ‘PRE-SAFE Impulse Side’, ‘Extended Automatic Re-Start’, pakej parkir dengan kamera 360 darjah, pemantauan tekanan tayar dan tujuh beg keselamatan untuk perlindungan menyeluruh.
Secara keseluruhan, Mercedes-Benz GLC 350 e 4Matic adalah SUV PHEV premium yang menggabungkan gaya, kemewahan, prestasi dan kelestarian dengan satu tangki penuh 65 liter serta bateri penuh, ia mampu menempuh sehingga 650km hingga 800km. Bagi mereka yang berulang-alik dalam jarak harian sekitar 100km, mod EV sahaja sudah memadai tanpa membabitkan penggunaan petrol.
Pada harga RM398,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang, model ini bukan sekadar simbol status, tetapi juga lambang kejuruteraan pintar untuk masa depan mobiliti.
© New Straits Times Press (M) Bhd