Pelakon, Elisya Sandha mengakui melalui tempoh berpantang yang cukup mencabar selepas melahirkan cahaya mata kedua apabila mengalami komplikasi pada luka pembedahan Caesarean (C-Section), hanya dua minggu selepas bersalin.
Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Sandha Hassan, 26, berkata, keadaan itu memberi kesan besar kepada kesihatannya sehingga menyebabkan dirinya hampir kemurungan kerana tidak mampu bergerak seperti biasa.
“Saya baru saja habis pantang semalam (Isnin), genap 44 hari. Terus terang, tempoh berpantang kali ini sangat mencabar dan menyedihkan. Banyak perkara berlaku, paling menjejaskan emosi saya adalah luka pembedahan C-section dijangkiti kuman.
“Duduk tak kena, baring pun tak kena, berjalan lagi tak kena… semuanya serba tak kena. Keadaan itu buatkan saya sangat tertekan dan hilang semangat.
“Hujung-hujung pantang barulah saya rasa sedikit pulih dan kembali bertenaga. Kalau tidak, memang rasa macam nak murung,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Citra Apartment di GSC IOI Mall Damansara pada Selasa.
Adik kepada pelakon terkenal, Fasha Sandha ini juga memilih untuk tidak berkongsi situasi tersebut dengan ibu dan ibu mentuanya, penerbit dan pelakon terkenal Shiela Rusly kerana tidak mahu menambah kerisauan mereka.
“Saya sedih sebab pergerakan terbatas. Lagipun, sekarang dah ada dua orang anak, tanggungjawab pun berganda. Saya tak nak mak dan mak mentua risau, jadi saya tak beritahu mereka. Cuma suami saja yang tahu sebab dia sentiasa ada di sisi, tengok keadaan saya setiap hari,” ujarnya.
Dalam pada itu, Elisya turut meluahkan rasa syukur kerana sentiasa menerima sokongan padu daripada suami tercinta, Uzair Haqimy Azman, yang banyak membantunya melalui fasa sukar itu.
“Sokongan suami memang sangat kuat. Bila tengok muka anak-anak, terus hilang rasa sakit dan letih. Saya juga bersyukur kerana orang sekeliling banyak beri sokongan moral,” katanya.
Terdahulu, Elisya selamat melahirkan cahaya mata kedua diberi nama Bahtera Elhaq pada Mei lalu. Pasangan itu turut dikurniakan seorang anak perempuan, Bunga Elhaq, yang kini berusia tiga tahun.
Untuk rekod, Elisya dan Uzair mendirikan rumah tangga pada Ogos 2021.