Elisya Sandha syukur anak disayangi semua – “Keluar kerja, mentua jaga”

Elisya Sandha syukur anak disayangi semua – “Keluar kerja, mentua jaga”

Pelakon Elisya Sandha bersyukur kehadiran anak perempuan, Bunga Elhaq membawa kebahagiaan buat ahli keluarga terutama ibu mentuanya yang juga penerbit, Sheila Rusly.

Menurut laporan Harian Metro, cahaya mata sulungnya itu akan dijaga oleh ibu mentua dengan penuh kasih sayang apabila dia dan suami, Uzair Haqimy keluar bekerja.

“Bunga dan mama Sheila sangat rapat sampaikan mama Sheila tak nak pergi set penggambaran sebab nak jaga Bunga di rumah.
“Bunga pun tak banyak meragam atau menangis apabila saya keluar bekerja.
“Namun, Bunga sangat mengenali ibunya manakala hubungan Bunga dengan ibu mentua pula seperti cucu dengan nenek,” kata pelakon berusia 23 tahun itu.

Elisya yang juga adik kepada pelakon Fasha Sandha berkata, ahli keluarga juga banyak membantu sekali gus dia tidak mengambil masa lama untuk kembali bekerja.

“Selepas melahirkan anak dan melalui proses berpantang saya sudah kembali bekerja. Bersyukur ada keluarga yang sangat menyokong…
“…terutama ibu mentua yang sanggup menjaga Bunga. Dalam waktu sama, saya juga ada pembantu yang menolong mama Sheila di rumah.
“Setakat ini, saya tiada masalah untuk kembali bekerja sebab saya memang tak suka duduk diam di rumah, saya lebih suka bekerja,” ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon drama Misteri Mona itu terpaksa menolak tawaran kerja di luar kawasan kerana anaknya masih menyusu badan.

Untuk rekod, Elisya dan Uzair mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021 dan menimang Bunga pada 18 Jun lalu.

Sumber: Harian Metro (Najiy Jefri) , Instagram Elisya Sandha