syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty membuat pendedahan berhubung pengorbanan besar yang dilakukan sahabatnya yang juga pelakon, Que Haidar sepanjang tempoh perkahwinannya sebelum ini.
Ellie ketika dihubungi berkata, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi pelakon filem Rock itu ketika namanya berada di puncak kerjaya.
Menurut Ellie, Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, sanggup mengenepikan minat mendalamnya terhadap dunia seni demi menjaga keharmonian rumah tangga dan memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran positif.
“Saya mengenali Que sejak 25 tahun lalu, sejak dari zaman Akademi Seni Kebangsaan lagi. Saya tahu apa yang dilalui sejak mula dia nak berlakon, sehingga berumah tangga.
“Dia berada di kemuncak kerjayanya ketika berkahwin. Namun, dia mengorbankan 16 tahun hidupnya untuk berdepan dengan paranoia isterinya serta membesarkan anak-anak agar mereka membesar dalam suasana yang positif,” katanya kepada Harian Metro.
Sebelum itu, Ellie menerusi hantaran di Threads turut mendedahkan Que seolah-olah ‘disekat’ daripada berkarya apabila isterinya didakwa akan mengamuk setiap kali pelakon itu menerima tawaran lakonan.
“Jika dia berkeras untuk mengambil sesuatu tawaran, dia hanya dibenarkan menjalani penggambaran sekiranya semua pelakon yang terbabit adalah lelaki.
“Tiada pelakon wanita dibenarkan berlakon bersamanya, malah pelakon tambahan wanita juga tidak dibenarkan.
Tambah Ellie, penderitaan dan kerinduan Que terhadap dunia lakonan pernah diluahkan kepadanya dalam satu pertemuan rahsia lebih sedekad yang lalu.
“Sekitar 12 tahun lalu, dia pernah bertemu saya secara diam-diam dan meluahkan bahawa dia terlalu merindui dunia lakonannya,” katanya.
Terdahulu, media sosial dihebohkan dengan krisis antara Que dan bekas isteri, Linda Jasmine selepas guru tari itu menulis komen balas kepada netizen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




