Elly Mazlein hamil anak kedua

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein akhirnya mengesahkan beliau sedang hamil anak kedua.

Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 41, berkongsi berita gembira itu di laman sosial.

“Alhamdulillah… Iya, saya mengandung. Insya-Allah, tidak lama lagi akan hadir nyawa kecil dalam keluarga kami.

“Atuk akan dapat seorang cucu lagi. Papa akan dapat seorang lagi anak manja dan kakak manja (merujuk pada anak sulungnya) akan dapat adik.

“Manja (Putri Sara Sefhia) hendak adik perempuan. Tetapi bagi kami, apa pun jantinanya, kami tak kisah asalkan bayi itu sihat dan dipermudahkan,” tulisnya malam tadi.

Bagaimanapun, Elly tidak mendedahkan usia kandungannya.

Menerusi entri itu, penyanyi yang baru muncul dengan single Dusta Cinta ini turut memuat naik foto bersama suami, Azlan Che Nuh yang dirakam pada majlis perkahwinan mereka, tahun lalu.

Perkongsian itu turut menyaksikan pelakon drama rantaian Kampung People ini merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak jemu mendoakan mereka segera menimang cahaya mata.

“Terima kasih atas doa wahai kesayangan semua. Terima kasih kerana sentiasa bersama saya dari saat getir hingga saat pelangi kebahagiaan datang menerpa.

“Doa saya agar Allah permudahkan urusan anda semua,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom

Spekulasi mengenai Elly hamil diperkatakan apabila peminat mula menyedari perubahan fizikal dirinya menerusi video TikTok SuriaFM yang memaparkan bahagian perutnya yang berisi.

Sebelum ini, Elly pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hatta pada 9 November 201, namun bercerai pada 15 Oktober 2015.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Puteri Sara Sefhia yang berusia lima tahun. – MalaysiaGazette