georgie@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pelakon, pengacara dan penyanyi popular, Elly Mazlein, 45, kekal dengan prinsip enggan mendedahkan wajah dua anaknya Sefhia, 8, dan Haider Matten, 4, di media sosial bagi menjaga privasi mereka.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dia mahukan mereka menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak biasa dan tidak kekok apabila berada di khalayak ramai.
“Biarlah anak-anak membesar seperti orang biasa sebab saya tidak mahu mereka menjadi tumpuan. Saya ingin mereka (anak-anak) merasa hidup bebas. Tak naklah rasa mak dia artis atau selebriti.
“Alhamdulillah sampai hari ini anak-anak saya sangat selesa dengan kehidupan mereka,” katanya.
Elly bagaimanapun berkata, itu pilihan peribadinya dan jika ada rakan-rakan artis turut berbuat sama, masing-masing mempunyai hak berhak berbuat demikian.
“Apabila ada artis-artis lain membuat keputusan sama, mungkin itu terbaik untuk mereka. Teruskan. Tapi apa-apa pun hak masing-masing, ada sahaja artis dan orang biasa kongsikan anak mereka di media sosial.
“Namun bagi saya, saya gembira dengan keputusan yang dibuat untuk anak-anak,” katanya.
Elly paling tersentuh apabila tindakannya itu membuatkan orang luar pun peka betapa dia menitikberatkan perkara itu. Kalau ada orang luar rakam foto atau video pun, mereka akan kaburkan wajah anak-anaknya.
“Kalau saya bawa anak keluar, kebanyakan peminat sudah faham prinsip saya. Mungkin kerana mereka sudah lama mengikuti media sosial saya. Peminat menghormati, mereka memang tahu kalau saya muat naik foto anak-anak wajah akan ditutup dengan emoji.
“Jadi, kalau mereka mahu memuat naik foto bersama saya, mereka akan ‘blur’ wajah anak-anak saya,” katanya.
Sementara itu, Elly dan pengacara Indonesia, Rina Nose sekali lagi dipilih sebagai hos program Big Stage Alpha yang akan bersiaran mulai 27 April ini di Astro Ria (saluran 104).
Big Stage buat julung kali menampilkan format ‘all-male spin-off’ bagi memberi saingan buat 18 bintang lelaki merebut peluang menjadi kumpulan lelaki pertama di bawah naungan Astro.
© New Straits Times Press (M) Bhd




