
Hubungan antara dua tokoh berpengaruh itu mulai retak dan dramatik minggu lalu. Foto AFP
LONDON – Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk pada Rabu mengakui bahawa beliau telah bertindak keterlaluan dalam beberapa hantaran media sosial yang menyentuh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, minggu lalu.
“Saya kesal dengan beberapa hantaran saya mengenai Presiden @realDonaldTrump minggu lalu. Ia sudah keterlaluan,” kata Musk menerusi ciapan di platform X.
Hubungan antara dua tokoh berpengaruh itu mula retak dan menjadi dramatik minggu lalu apabila kedua-duanya saling menyindir menerusi platform media sosial masing-masing.
Hubungan mereka mula merosot apabila Musk mengkritik rang undang-undang cukai dan dasar domestik yang diperkenalkan oleh Trump, yang disifatkannya sebagai satu ‘kehinaan yang menjijikkan’ kerana dijangka memberi kesan negatif terhadap kedudukan kewangan kerajaan Amerika Syarikat.
Kritikan Musk berterusan apabila beliau turut memuat naik semula kenyataan lama Trump dan beberapa ahli Parlimen Republikan yang membangkitkan kebimbangan terhadap perbelanjaan kerajaan serta defisit bajet negara.
Sementara itu, saham Tesla yang didagangkan di Frankfurt, Jerman, meningkat 2.4 peratus susulan kenyataan Musk yang dilihat cuba menarik semula kritikannya terhadap Trump. – Agensi