Elon Musk mula mual dengan Trump

Elon Musk mula mual dengan Trump

WASHINGTON – Bilionair terkenal, Elon Musk, melontarkan kritikan keras terhadap rang undang-undang belanjawan utama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan menyifatkannya sebagai “menjijikkan dan memualkan” menerusi beberapa hantaran di media sosial.

Kecaman tersebut hadir hanya beberapa hari selepas Musk meninggalkan pentadbiran Trump.

Dalam kenyataan terbaharu, beliau menyelar rang undang-undang yang dikenali sebagai One Big Beautiful Bill.

“Saya minta maaf, tetapi saya sudah tidak tahan lagi. Rang undang-undang perbelanjaan Kongres ini terlalu besar, penuh pembaziran dan sangat menjijikkan.

“Mereka yang mengundi menyokongnya sepatutnya berasa malu. Kamu tahu kamu silap. Kamu tahu itu,” kata Musk.

Musk turut memberi amaran bahawa pemotongan cukai dan perbelanjaan besar dalam rang undang-undang itu akan melonjakkan hutang negara ke tahap yang membebankan.

“RUU ini akan menyebabkan defisit bajet meningkat kepada AS$2.5 trilion (kira-kira RM11.8 trilion), dan membebankan rakyat Amerika dengan hutang yang sangat tidak mampan,” katanya lagi.

Antara isi kandungan utama RUU tersebut ialah lanjutan pemotongan cukai yang diluluskan pada tahun 2017 semasa penggal pertama Trump, serta peruntukan tambahan sebanyak AS$46.5 bilion (sekitar RM219 bilion) untuk pembinaan tembok di sempadan Mexico.

Namun, bagi merealisasikan matlamat tersebut, kerajaan perlu menaikkan had hutang negara sebanyak AS$4 trilion (RM18.9 trilion).

RUU itu juga mencadangkan pengurangan akses kepada program keselamatan sosial seperti Medicaid dan SNAP (program bantuan makanan untuk isi rumah berpendapatan rendah).

Menurut Biro Belanjawan Kongres (CBO), yang merupakan badan bebas dan tidak berpihak, rang undang-undang tersebut akan mengakibatkan pengurangan subsidi Medicaid sebanyak AS$698 bilion (sekitar RM3.3 trilion) dan pemotongan dana SNAP sebanyak AS$267 bilion (kira-kira RM1.26 trilion).

Cadangan tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan wakil kedua-dua parti utama, termasuk sebahagian anggota Republikan yang bimbang rakyat akan kehilangan akses kepada perkhidmatan asas dan bantuan kerajaan.

Dalam satu undian awal pagi 22 Mei lalu, Dewan Perwakilan meluluskan rang undang-undang tersebut dengan keputusan tipis 215-214. Parti Republikan yang memegang 220 kerusi hanya berjaya meloloskannya selepas beberapa anggotanya tidak hadir atau memilih untuk berkecuali.

Kini, rang undang-undang itu sedang dibahaskan di Senat Amerika Syarikat, yang turut dikuasai oleh Republikan dengan majoriti tipis. – Agensi

Scroll to Top