saifulaffendy@hmetro.com.my
Bangkok: Penerjun muda negara, Elvis Priestly Clement berjanji akan bangkit lebih kuat untuk memburu pingat pada Sukan SEA 2027 apabila Malaysia menjadi tuan rumah selepas gagal menyumbang kilauan pingat pada penampilan pertamanya di Sukan sea Thailand.
Pada aksi terjun 3 meter (m) papan anjal lelaki, semalam, Elvis terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat selepas mengumpul 359.80 mata, sekali gus terlepas peluang sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa.
Namun, pencapaian itu tetap dianggap positif apabila prestasinya lebih baik berbanding penerjun senior negara, Muhammad Syafiq Puteh, yang menamatkan enam pusingan terjunan dengan kutipan 356.30 mata untuk menghuni tempat kelima.
Syafiq gagal mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Sea Vietnam 2021 dan Kemboja 2023, sekali gus menyaksikan dominasi 20 tahun Malaysia berakhir dalam acara itu.
Kem negara tidak pernah gagal memenangi emas sejak Yeoh Ken Nee muncul juara pada edisi 2005 di Filipina, sebelum legasi itu diteruskan termasuk kejayaan Syafiq sendiri.
Elvis tidak menyembunyikan kekecewaannya, namun berazam menjadikan kegagalan kali ini sebagai pembakar semangat.
“Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana tak dapat hadiahkan pingat untuk Sukan Sea kali ini. Tapi saya akan buat yang terbaik lagi tahun depan atau dua tahun lagi apabila Sukan Sea berlangsung di Malaysia.
“Saya harap prestasi saya akan lebih baik lagi berbanding sebelum ini,” katanya.
Mengulas pengalaman pertamanya beraksi di temasya dwitahunan itu, Elvis mengakui tekanan di pentas Sukan Sea nyata berbeza berbanding kejohanan lain yang pernah disertainya.
“Pentas Sukan Sea ini saya rasa tekanannya agak tinggi. Tapi saya pun tak jangka tekanan setinggi itu berbanding kejohanan yang pernah saya sertai sebelum ini.
“Lagipun ini kali pertama saya beraksi di Sukan Sea dalam acara ini,” katanya.
Kali ini, emas menjadi milik penerjun tuan rumah, Chawanwat Juntaphada yang mengumpul 378.30 mata, sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun mereka dalam acara itu selepas kali terakhir dimenangi Suchart Pichi pada edisi 2003 di Vietnam.
Manakala Avvir Pac Lun Tham dari Singapura meraih perak dengan 376.55 mata dan gangsa milik rakan senegara, Max Lee Shen Oon yang mencatat 366 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




