Elyana kongsi momen sebak botak kepala dibantu anak

Elyana kongsi momen sebak botak kepala dibantu anak

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Elyana, 38, membuat keputusan membotakkan kepala kerana menjalani rawatan kemoterapi disebabkan penyakit kanser limfoma tahap empat dihidapinya sejak 2010 lalu.

Elyana atau nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal berkongsi perkara itu menerusi hantaran video memotong rambut yang dimuatnaik di Instagram (IG) dengan dibantu dua anak perempuannya.

“MasyaAllah.. perjuanganku demi anak-anak. Sembuhlah kerana saya ada anak dan tiada siapa layak untuk terima versi rosak saya ini,” tulisnya pada kapsyen video itu.

Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen memberikan kata-kata semangat kepada Elyana termasuk menyifatkannya sebagai seorang pejuang kanser yang kuat dan berjiwa kental.

“Elyana seorang ‘fighter’, moga Allah kurniakan kesembuhan buatmu,” komen rakan artis, Farah Diana Anuar atau Farah AF2.

“Kakak semoga dipermudahkan, I love you,” tulis penyanyi Syada Amzah.

“Saya faham perasan itu sebab saya pun sedang berjuang. Kita sama-sama kuat demi anak-anak,” ujar seorang wargamaya.

“Semoga dipermudahkan semua urusan kakak.. terus berjuang. Syafakillah,” kata netizen.

“Terus kuat Elyana. Semoga Allah beri keajaiban dan kesembuhan,” kata seorang warganet.

Sementara itu, Elyana juga memuat naik beberapa hantaran gambar dan video di InstaStory menunjukkan dia berada di hospital dengan ditemani anak-anak serta menjalani rawatan kemoterapi hari ke-29.

Pada 14 November lalu, Elyana juga berkongsi video dimuatnaik di IG mengenai keadaannya yang sentiasa bangun pada awal pagi kerana tidak boleh tidur akibat sakit badan disebabkan menjalani rawatan kemoterapi di hospital.

ebelum ini, kira-kira dua tahun lalu Elyana pernah berkongsi berita gembira apabila dia disahkan bebas daripada penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.

Ketika menyertai program Gegar Vaganza (GV) pada 2017, Elyana buat pertama kali mendedahkan dirinya adalah penghidap kanser limfoma tahap empat selepas tujuh tahun menyimpan rahsia berkenaan.

Elyana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 14, dan turut memiliki seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani, 6.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top