Emas kategori baharu bukti ketahanan mental Aznil

Emas kategori baharu bukti ketahanan mental Aznil

PENGURUS pasukan angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim menyifatkan kejayaan Muhammad Aznil Bidin menjuarai kategori 65 kilogram (kg) pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2025 di Ahmedabad, India sebagai bukti kematangan serta ketahanan mental luar biasa atlet berkenaan.

Menurut Amirul, kejayaan itu lebih manis kerana hadir dalam kategori baharu yang menyaksikan persaingan sengit, khususnya daripada pencabar utama tuan rumah, Raja Muthupandi yang akhirnya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

“Kejayaan Aznil ini sangat bermakna kerana kategori 65kg masih baharu dan ramai pihak tidak menjangka siapa yang akan mendominasi. Dia berjaya membuktikan dirinya mampu menyesuaikan diri dan mengatasi cabaran besar,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Veer Savarkar, kejayaan Aznil sekali gus menafikan dominasi Raja Muthupandi, manakala Morea Baru dari Papua New Guinea membawa pulang pingat gangsa.

Kejohanan yang berlangsung dari 24 hingga 30 Ogos ini turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.

Amirul menjelaskan, pencapaian emas itu juga selari dengan sasaran pasukan yang mahu mengekalkan konsistensi, terutama dalam angkatan clean & jerk, iaitu aspek yang menjadi kunci kejayaan Aznil menyempurnakan jumlah keseluruhan 297kg (snatch 125kg, clean & jerk 172kg).

“Aznil bijak mengawal tekanan di pentas besar. Beza hanya satu kilogram boleh menentukan kedudukan pingat, dan pengalaman dia beraksi di peringkat antarabangsa jelas membantu menguatkan mentalnya,” ujar bekas jaguh angkat berat negara itu.

Tambah Amirul, kejayaan itu juga hasil daripada persediaan rapi skuad kebangsaan sebelum berangkat ke Ahmedabad.

“Alhamdulillah, fasa persiapan empat minggu di Kuala Rompin, Pahang berjaya membuahkan hasil. Selepas ini, atlet akan kembali berlatih di Bukit Jalil untuk meneruskan program latihan intensif,” katanya.

Dalam masa sama, Amirul menegaskan skuad negara tidak hanya bergantung kepada seorang atlet, sebaliknya kesemua 14 atlet yang dibawa memiliki potensi untuk menyerlah di pentas antarabangsa.

“Fokus kami ialah memastikan setiap atlet tampil dengan prestasi terbaik pada kejohanan penting. Semua mahu memberikan yang terbaik untuk negara,” jelasnya.

Scroll to Top