Emas sepak takraw jadi penamat gemilang Malaysia di Sukan Sea

Emas sepak takraw jadi penamat gemilang Malaysia di Sukan Sea

saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Skuad sepak takraw lelaki negara menutup kempen kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand dengan penuh gemilang apabila meraih pingat emas acara regu pada hari terakhir temasya sukan itu, hari ini.

Berlangsung di Stadium Gimnasium Nakhon Pathom, skuad negara di bawah bimbingan Ahmad Jais Baharun mempamer aksi bertenaga menumbangkan Vietnam 15-9, 15-9 pada aksi final.

Vietnam sebelum itu melakar kejutan apabila menewaskan Thailand 15-13, 6-15, 15-9 di separuh akhir, sekali gus menafikan final impian antara Malaysia dan Thailand.

Skuad negara pula tidak berdepan masalah mengatasi Indonesia 15-7, 15-10 di separuh akhir.

Ia adalah emas ke-57 diraih kontinjen negara pada temasya edisi ke-33 kali ini yang turut menyaksikan Malaysia memungut 57 perak dan 117 gangsa untuk keseluruhan 231 pingat, sekali gus melepasi sasaran 200 pingat yang ditetapkan sebelum ini.

Regu dibarisi Syahir Mohd Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) menunjukkan keyakinan tinggi apabila tidak berdepan masalah untuk memenangi set pertama.

Pada awal set kedua, Haziq Hairul Nizam masuk menggantikan Syahir dan skuad negara terus konsisten selepas itu untuk melakar kemenangan mutlak.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara regu lelaki adalah ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan skuad negara menewaskan Filipina di pentas final.

Skuad negara turut meraih emas pada edisi sebelum itu di Singapura, ketika kedua-dua edisi tiada penyertaan Thailand kerana peraturan had penyertaan.

Thailand selaku juara berturut-turut tiga edisi sejak 2019 di Filipina, terus berdepan mimpi ngeri selepas regu utama mereka tewas kepada Vietnam 13-15, 15-6, 9-15, sekali gus sekadar berpuas hati dengan gangsa berkongsi bersama Indonesia.

Sebelum itu, Thailand juga dimalukan oleh Malaysia, yang mencipta detik manis menamatkan kemarau 34 tahun dengan meraih emas acara regu berpasukan lelaki.

Anak buah Ahmad Jais ketika itu meraih kemenangan 2-1, meninggalkan Thailand terkedu tumbang di halaman sendiri.

Kejayaan hari ini menyaksikan skuad sepak takraw negara menutup kempen di Thailand dengan mengutip dua emas dan tiga gangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top