sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain berpengalaman boling padang negara, Emma Firyana Saroji begitu sebak dan sukar untuk mempercayai apabila dia berjaya mencipta kebangkitan luar biasa di halaman sendiri bagi menempah tiket ke pentas akhir perseorangan wanita Piala Dunia 2025 pada Sabtu ini.
Bagi Emma Firyana, pada aksi separuh akhir semalam, ketika balingan terakhir di set penentuan itu, dia berada dalam situasi ‘hidup mati’ kerana sebarang kesilapan akan memberikan kemenangan kepada lawannya namun sedikit ketenangan serta pengalaman yang ada, dirinya berjaya mengatasi situasi genting berkenaan.
“Sejujurnya, semasa balingan terakhir itu, keyakinan saya dah menurun sebab kedudukan bola agak sukar. Tapi, selepas berbincang dengan jurulatih, dia cakap, saya cuba buat balingan masuk (arah) kiri itu dan bola itu kena dengan cara yang orang cakap bukan kena sempurna, dia kena macam nakal sikit bola itu, supaya betul-betul boleh dapat ‘jack’.
“Alhamdulillah, dapat buat benda itu dan saya rasa macam terkejut jugalah sebenarnya boleh dapat, sebab kalau ikutkan kalau main (arah) kiri itu agak sukar sikit,” katanya.
Selain itu, atlet berusia 39 tahun itu juga mengulas perasaan sebak itu hadir kerana prestasi dia tidak berada di tahap terbaik dan sedikit bergelut mencari rentak terutama di separuh akhir .
“Sebab dalam peringkat kumpulan pun tiga menang dua kalah. Jadi, nak kekalkan momentum itu, ‘first end’ pun saya masih mencari, bila saya dapat buat, dia (Dawn Hayman) dapat buat (di separuh akhir).
“Jadi, keyakinan kita itu turun sekejap. Tapi untuk set kedua itu, saya cuba untuk paksa diri sendirilah untuk dapatkan balik semula” katanya dalam nada sebak.
Terdahulu, Emma Firyana berpeluang untuk meraih kejuaraan di halaman sendiri selepas menewaskan wakil Australia, Dawn Hayman 2-1 dalam perlawanan yang penuh sengit di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.
Sementara itu, hasrat untuk melihat pertemuan sesama sendiri tidak kesampaian apabila seorang lagi wakil negara, Nurul Alyani Jamil tewas 0-2 kepada pemain England, Katherine Rednall.
Kekalahan itu menyaksikan Alyani muncul wakil pertama negara menyumbang pingat gangsa buat kem negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




