London: Emma Raducanu kini kembali tersenyum di Wimbledon selepas bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu kembali menemui faktor keseronokan yang membuatnya menjadi gadis emas tenis British sebelum prestasinya menjunam dengan mengejutkan.
Emma menumpaskan pilihan kesembilan, Maria Sakkari 6-2, 6-3 dalam perlawanan pusingan ketiga Wimbledon seterusnya mara ke pusingan 16 terakhir buat kali pertama di Grand Slam selepas tiga tahun.
Selepas menumbangkan pemain nombor 33 dunia, Elise Mertens dalam pusingan kedua, kemenangan Emma ke atas Maria adalah petunjuk positif bahawa dia kembali ke prestasi terbaiknya.
Pemain berusia 21 tahun itu mengakui dia kembali jatuh cinta dengan tenis selepas menghadapi kesukaran mengendalikan tumpuan di atas prestasi luar biasanya sebelum ini.
Dia menjadi tumpuan dalam masa dua minggu penuh transformasi di New York pada tahun 2021.
Pada usia 18 tahun, kemenangannya yang ajaib di Terbuka AS menjadikan Emma pemain wanita British pertama yang mengangkat trofi Grand Slam tunggal sejak Virginia Wade di Wimbledon pada tahun 1977.
Dia juga menjadi pemain pertama dari peringkat kelayakan dalam era Terbuka yang memenangi gelaran tunggal utama.
Dia meninggalkan Manhattan dengan menjadi tumpuan dunia, tetapi masalah yang mengganggunya sejak itu memberi peringatan bahaya kemasyhuran mendadak.
Prestasi Emma dengan cepat merosot, dan dia mendapat tuduhan lebih mementingkan perjanjian pemasaran berbanding fokus pada tenis.
“Apabila saya menang, saya sangat naif. Anda harus berjaga-jaga kerana terdapat banyak ‘jerung’ di luar sana. Saya sudah terseksa beberapa kali,” katanya dalam satu temubual tahun lalu.
Kecederaan melambatkan kemajuan Emma dan pembedahan pada kedua-dua pergelangan tangan serta lutut menjejaskan sebahagian besar kempen 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




