Emma Maembong masih berstatus ibu tunggal selepas cerai tahun lalu

Emma Maembong masih berstatus ibu tunggal selepas cerai tahun lalu

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Emma Maembong, 33, tampil menjelaskan dirinya belum berkahwin dengan DJ Kidd sebagaimana didakwa sebelum ini dan dia masih berstatus ibu tunggal selepas bercerai tahun lalu.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail terpanggil menjelaskan kekeliruan itu selepas terlalu ramai yang menyangka dirinya sudah berkahwin baharu meskipun asalnya memilih untuk diamkan dulu.

“Lagi saya diam dan lari ada pula yang ingat saya dah kahwin. Sebenarnya saya belum berkahwin dan masih solo. Bila saya tahu gosip saya sudah berumah tangga ini pun mulanya saya tak nak layan sampai isu ini hilang sendiri.

“Rupanya gosip itu masih datang sehingga ada yang ingat saya isteri orang,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi dan majlis berbuka puasa Star Powerhouse di sini, hari ini.

Namun begitu, Emma mengakui memang berkawan dengan DJ Kidd sejak berkenalan di sebuah set penggambaran.

Menurutnya jejaka itu cukup menyenangkan dan berperwatakan kelakar.

“Ya saya memang berkenalan dengan dia, kami cuma berkawan dan tidak pernah bercinta. Dia seorang pembantu peribadi kepada kenalan saya di set penggambaran, saya bukan kenal dia sebagai deejay.

“Malah kami masih berhubung sebab saya tak pernah bermusuh dengan sesiapa,” kata pelakon Takdir Itu Milik Aku itu.

Emma turut menyangkal dakwaan sekiranya DJ Kidd adalah punca dia bercerai dengan bekas suami iaitu Muhammad Shazli Azhar.

Menurutnya, tiada sesiapa menjadi punca perceraian mereka dan tidak mahu membuka cerita lama mengenai perkara itu.

Baginya kalau ada salah pun, segalanya datang dari dirinya sendiri.

“Tidak, tiada siapa punca saya bercerai. Bagi saya buku yang sudah ditutup kenapa nak kena buka balik? Saya selalu kata apa-apa yang jahat salahkan sahaja saya dan bukan orang di sekeliling saya.

“Sebab saya yang tak jaga diri. Tapi jangan pernah salahkan sesiapa yang dengan saya sebab dia orang tak bersalah pun,” katanya.

Sebelum ini, timbul gosip mengatakan Emma sudah berkahwin dengan seorang deejay dikenali sebagai DJ Kidd.

Malah mereka turut didakwa bercuti bersama di luar negara berdasarkan gambar tular di media sosial.

Terdahulu, pada Oktober tahun lalu, Emma mendedahkan dia dan suami iaitu Muhammad Shazli Azhar sudah pun bercerai secara baik.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 5, dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top