London: Emma Raducanu mencatatkan pendapatan lumayan pada tahun 2024, walaupun hanya memperoleh £735,000 (RM4 juta) daripada kejohanan di atas gelanggang.
Pemain berusia 22 tahun itu masih berusaha untuk mencapai kembali prestasi luar biasanya selepas menjuarai Terbuka AS 2021 ketika berusia 18 tahun.
Emma tersingkir dari Terbuka Australia pada pusingan ketiga selepas tewas straight set di tangan Iga Swiatek awal bulan ini.
Dia juga masih mencari kemenangan keduanya dalam Jelajah WTA, tetapi masalah kecederaan jangka panjang menghalang kemaraannya.
Namun, di sebalik prestasi yang kurang memberangsangkan di gelanggang, Emma tetap memperoleh pendapatan tinggi menerusi hasil penajaan.
Menurut analisis JeffBet dan laporan daripada Forbes, Emma meraih £9.6 juta (RM52.9 juta) daripada kontrak penajaan sahaja sepanjang 2024.
Jika digabungkan dengan wang kemenangan £735,000, jumlah keseluruhan pendapatannya mencecah £10.3 juta (RM56.8 juta) tahun lalu.
Emma memiliki beberapa kontrak penajaan bernilai tinggi bersama jenama terkemuka seperti Tiffany & Co, Dior, Nike dan British Airways.
Sekiranya pendapatan penajaannya digabungkan dengan hadiah kemenangan, Emma akan berada di kedudukan kedua dalam carta pendapatan pemain tenis.
Namun, pemain lain juga mempunyai perjanjian penajaan mereka sendiri yang meningkatkan pendapatan keseluruhan mereka pada 2024.
Tanpa mengambil kira pendapatan di luar gelanggang, Jannik Sinner adalah satu-satunya pemain yang memperoleh lebih banyak wang berbanding Emma tahun lalu.
Sinner, yang menjuarai Terbuka Australia dan Terbuka AS 2024, meraih £15.9 juta (RM87.7 juta) hanya daripada kejohanan yang disertainya.
© New Straits Times Press (M) Bhd