Empat aksi persahabatan uji ‘wajah baharu’ Bos Gaurus

Empat aksi persahabatan uji ‘wajah baharu’ Bos Gaurus

IPOH: Perak FC akan mengadakan empat perlawanan persahabatan dalam usaha menguji kemantapan dan keserasian gandingan pemain.

Ini berikutan penambahan pemain baharu bagi menghadapi baki kempen Liga Perdana selepas ini.

Empat perlawanan itu ialah menentang Kedah, Penang FC, Bukit Tambun dan Universiti Korea.

Perlawanan dengan Kedah akan diadakan pada 10 Jun di Alor Setar, diikuti Penang FC di Pulau Pinang, dua hari kemudian, diikuti Bukit Tambun FC (15 Jun) serta Universiti Korea (19 Jun). Kedua-dua perlawanan itu di Ipoh.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, perlawanan itu adalah pentas menguji pemain tambahan yang didaftarkan kepada Liga Bola sepak Malaysia  (MFL).

Menurut Farid, mereka sudah memeterai ikatan dengan Perak FC dan akan diturunkan apabila hukuman ke atas Perak FC dibatalkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Farid berkata, tunggakan gaji pemain import akan dilunaskan kerana Perak FC sudah mendapat maklumat mengenai pemain terbabit.

“XOX diperingkat membayar tunggakan gaji mereka esok atau lusa,” katanya.

Justeru, beliau menjangka FIFA akan menarik balik hukuman ke atas Perak dalam minggu ini juga. – UTUSAN ONLINE