Empat beregu negara bertembung sesama sendiri di peringkat 16 akhir

Empat beregu negara bertembung sesama sendiri di peringkat 16 akhir

PETALING JAYA: Peminat badminton tanah air bakal disajikan dua pertembungan sesama sendiri beregu lelaki dan campuran di peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis, hari ini.

Pada peringkat 32 terbaik semalam, beregu lelaki No. 22 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King mencipta kejutan ke atas pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh yang merupakan pasangan ke-12 dunia menerusi kemenangan 21-13, 21-17 dalam masa 33 minit.

Kemenangan tersebut membawa Arif Junaidi-Yap Roy King kepada pertembungan sesama sendiri menentang beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi merebut slot ke suku akhir.

Aaron-Wooi Yik pula mara selepas menewaskan Christopher Grimley-Matthew Grimley dari Scotland 21-15, 21-12 dalam masa 33 minit.

Dalam aksi beregu campuran pula, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin terlebih dahulu mara ke peringkat 16 akhir selepas menundukkan Malik Bourakkadi-Leona Michalski dari Jerman 21-10, 18-21, 21-12 dalam masa 50 minit.

Kejayaan itu telah menemukan beregu ke-16 dunia tersebut dengan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai selepas pasangan No. 6 dunia itu menumpaskan Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong dari Thailand 21-19, 21-15 dalam masa 30 minit.

Satu lagi beregu campuran Malaysia yang menghuni ranking No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula mengalahkan wakil India, Rohan Kapoor-Gadde Ruthvika Shivani 21-16, 21-11 dalam masa 30 minit.

Di peringkat 16 terbaik, gandingan No. 1 Malaysia itu akan bertemu pasangan Indonesia yang menghuni ranking ke-11 dunia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu.

Turut mengikut jejak langkah empat gandingan tersebut ialah beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang tidak berdepan masalah menumpaskan wakil Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan 21-17, 21-14 dalam masa 37 minit.

Pada pusingan seterusnya, Pearly-Thinaah akan menghitung pertemuan sama ada dengan Tea Margueritte-Flavie Vallet dari Perancis atau pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Sementara itu, dalam perseorangan wanita, pemain ke-40 dunia, K. Letshanaa tersingkir di peringkat 32 terbaik selepas tewas kepada Pusarla V. Sindhu dari India 19-21, 15-21 dalam masa 43 minit. – UTUSAN

Scroll to Top