Empat beregu tersingkir, cabaran Malaysia di Terbuka Singapura tamat di suku akhir

Empat beregu tersingkir, cabaran Malaysia di Terbuka Singapura tamat di suku akhir
Empat beregu tersingkir, cabaran Malaysia di Terbuka Singapura tamat di suku akhir

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik

KUALA LUMPUR – Cabaran pemain badminton negara di Kejuaraan Terbuka Singapura Super 750 berakhir di peringkat suku akhir hari ini

Di Stadium Tertutup Singapura, beregu lelaki nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik menutup tirai cabaran Malaysia apabila gagal mempertahankan kejuaraan selepas tewas straight set 15-21, 15-21 kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi selama 31 minit.

Kekalahan Aaron-Soh kepada pasangan ranking kelima dunia itu melengkapkan hari suram kem beregu lelaki negara apabila dua lagi wakil turut terkandas di peringkat lapan terbaik.

Terdahulu, beregu profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut ditunjukkan jalan keluar selepas tewas 18-21, 21-10, 14-21 kepada beregu pilihan ketiga dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.

Sementara itu, gandingan muda Aaron Tai-Kang Khai Xing memberi tentangan sengit sebelum tumpas 21-19, 17-21, 13-21 kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam perlawanan selama 65 minit.

Nasib turut tidak memihak kepada beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terpaksa menarik diri daripada aksi suku akhir menentang gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.

Tang Jie-Ee Wei ketika itu sedang mendahului 18-16 dalam set pertama sebelum Ee Wei mengalami kecederaan lutut. – Bernama

 

 

Scroll to Top