Empat individu dirakam percakapan kes kanak-kanak jatuh dari tingkat 30

Empat individu dirakam percakapan kes kanak-kanak jatuh dari tingkat 30

PETALING JAYA: Polis merakam keterangan seramai empat individu bagi membantu siasatan kes kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Jalan Jalil Impian 1 Bukit Jalil, dekat sini, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, kesemua individu terbabit termasuk bapa kepada mangsa yang dirakam percakapan pada Sabtu lalu.

“Kami akan mengambil keterangan pakar patologi pada 13 Jun ini. Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jumaat lalu, ibu dan bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki itu telah direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua mereka yang merupakan warga Indonesia berusia 27 dan 25 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau dilaporkan berkata, bapa kanak-kanak itu merupakan warga tempatan dan telah berkahwin dengan ibu mangsa yang merupakan warga negara Indonesia.

“Hasil bedah siasat yang dilakukan, kanak-kanak itu maut selepas mengalami pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi,” katanya.

Khamis lalu, polis dimaklumkan mengenai kejadian selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.17 pagi daripada seorang lelaki.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai jatuh dari balkoni kediaman terletak di tingkat 30 salah sebuah blok di pangsapuri terbabit.- UTUSAN.

Scroll to Top