am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Empat karya seni bernilai tinggi termasuk nukilan Pablo Picasso yang dipulangkan kepada kerajaan Malaysia berkemungkinan akan dipamerkan kepada umum di Balai Seni Lukis Negara, sebagai bahan sejarah dalam pemulihan aset rasuah negara, tidak lama lagi.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya ketika ini sedang bekerjasama secara strategik bersama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) dalam memulihara aset berkenaan.
Beliau berkata, langkah mempamerkan kepada umum itu hanya akan dilaksanakan selepas semua proses undang-undang selesai.
“SPRM kini sedang memperkukuh komitmen dalam memelihara integriti aset negara menerusi kerjasama strategik bersama LPSVN khususnya membabitkan aspek teknikal pemuliharaan empat karya seni bernilai tinggi yang dikaitkan dengan kes 1MDB.
“SPRM turut berhasrat untuk menjadikan karya seni ini sebagai sebahagian daripada bahan sejarah negara untuk dipamerkan kepada umum setelah semua proses undang-undang selesai kerana ia merupakan simbolik kepada ketegasan negara dalam menentang ketirisan aset melalui amalan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Disember lalu, BH secara eksklusif melaporkan 12 lukisan berkualiti tinggi dan mahakarya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB bernilai sekitar AS$30 juta (kira-kira RM140 juta) akan dipamerkan di Balai Seni Negara (BSN) untuk tatapan umum sejurus ia tiba di negara ini.
BH sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya 12 karya dituntut kerajaan Malaysia kerana mempunyai kaitan dalam penyelewengan 1MDB, termasuk empat yang kini dalam perjalanan ke Malaysia serta satu karya dipercayai nukilan Pablo Picasso masih berada di Switzerland.
Enam lagi mahakarya pelukis terkenal dunia yang pernah dimiliki saksi kes 1MDB, Jasmine Loo, masih di bawah jagaan rumah lelong terkenal Christie’s dan hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di Amerika Syarikat.
Semalam, BH melaporkan, karya seni itu adalah sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hasil usaha berterusan kerajaan Malaysia melalui pendekatan bersepadu membabitkan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan tempatan dan rakan strategik antarabangsa.
Menurutnya, nilai keseluruhan karya seni terbabit dianggarkan sebanyak AS$198,125.00 (anggaran RM786,556.25), membabitkan hasil karya artis terkenal dunia seperti Joan Miró – Composition (1953), Maurice Utrillo – Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934), Balthus – Étude pour femme couchée (1948) dan Pablo Picasso – L’Ecuyere et les clowns (1961).
Lukisan berkenaan sebelum ini dimiliki peguam utama 1MDB, Jasmine Loo, selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengesahkan ia ada kaitan dengan skandal dana 1MDB.
Mengulas lanjut, Azam berkata, rampasan karya seni itu bukan sekadar kejayaan penguatkuasaan, malah membuktikan usaha berterusan SPRM dalam membanteras jenayah kewangan berskala besar demi membawa pulang khazanah milik negara.
“Meskipun proses perundangan dan keputusan mahkamah bagi tujuan pelucutan hak masih berjalan, keutamaan SPRM kini adalah memastikan keselamatan dan keadaan fizikal barang kes tersebut kekal terpelihara tanpa sebarang kerosakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad berkata, Balai Seni Negara bersedia untuk memberikan khidmat kepakaran melalui fasiliti khusus memandangkan karya seni itu mempunyai sifat sensitiviti tinggi dan penempatan di ruangan biasa akan merisikokan dan menjejaskan nilai estetika serta nilai pasaran karya.
“Penggunaan bilik kebal dengan kawalan suhu dan kelembapan di Balai Seni Negara dilihat sebagai langkah mitigasi terbaik sebelum dipamerkan kepada umum,” katanya.
Dalam kunjungan itu, sesi pemeriksaan fizikal karya seni lukisan berkenaan turut dikendalikan oleh pasukan Art Hospital, Balai Seni Negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




