hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Padah menggunakan mata pukat kurang daripada 38 millimeter (mm), sebuah bot pukat tunda kelas C bersama empat kru warga Mynamar ditahan di kedudukan 6.36 batu nautika dari Pantai Sungai Belukang, Rungkup di Perak, Sabtu lalu.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, penahanan itu dilakukan sepasukan anggota Bot Ronda PSC 24 Markas Operasi PPM Wilayah Satu Kampung Acheh pada 9.30 pagi.
Menurutnya, selain disyaki menggunakan mata pukat kurang daripada 38 mm, bot terbabit turut didapati melakukan kesalahan menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia hasil pemeriksaan dilakukan.
“Turut dikesan nombor pendaftaran vessel diatas bumbung rumah kemudi juga ditutup, nombor pendaftaran di hadapan bot tidak mengikut speksifikasi ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia.
“Bot juga tidak memasang peralatan MTU dan tiada boya keselamatan serta alat pemadam api tamat tempoh,” katanya.
Katanya, susulan itu, empat lelaki warga Myanmar ditahan dan turut dirampas bot kelas C berkenaan bersama dua pukat tunda, dua gelung tali tunda, dua papan tunda, 66 tong ikan, 14 tong air dan 100 kilogram pelbagai jenis ikan yang dianggarkan bernilai RM23,500.
Katanya, tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd