bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Seorang lelaki tempatan dan tiga warga Myanmar yang sedang leka memunggah minuman keras dipercayai tidak bercukai, terkejut apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sebuah premis kedai di Taman Segar Subang, di sini, malam tadi.
Komander Briged Tengah PGA Cheras, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim, berkata, ketika serbuan dilakukan suspek dipercayai sedang memunggah minuman keras terbabit ke sebuah kenderaan untuk diedarkan ke kedai pelanggan mereka sekitar Lembah Klang.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah PGA Cheras, membuat serbuan ke atas sebuah premis kedai itu jam 7.30 malam menerusi Ops Contraband.
“Dalam serbuan itu, pasukan berjaya menahan empat lelaki membabitkan seorang warga tempatan dan tiga warga Myanmar yang berusia 26 tahun sehingga 43 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Muhammad berkata, dalam serbuan yang dijalankan itu, pasukannya berjaya merampas 1,134 kotak bir pelbagai jenama.
“Jumlah keseluruhan rampasan bir pelbagai jenama sebanyak 27,216 tin dengan nilai anggaran RM849,844.
“Siasatan mendapati, barang rampasan terbabit berada di dalam premis sejak dua minggu sebelum hari raya dan sindiket sudah beroperasi hampir setahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, serbuan itu berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai itu di sekitar daerah Lembah Klang.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd




