KUALA NERUS: Empat pelajar lelaki ditahan selepas dipercayai menceroboh masuk ke asrama puteri sebuah sekolah menengah di daerah ini, Sabtu lalu.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 2 hingga 3 pagi ketika kebanyakan penghuni asrama sedang tidur.
“Keempat-empat pelajar berkenaan dipercayai memasuki asrama puteri tanpa kebenaran sebelum perbuatan mereka disedari pihak sekolah. Semua pelajar terbabit adalah pelajar sekolah sama danditahan polis Sabtu lalu bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan penahanan keempat-empat pelajar berkenaan.
“Saya mengesahkan empat pelajar ditahan di sekolah berkenaan kira-kira pukul 1.13 petang, 22 Ogos lalu. Bagaimanapun, kesemua mereka sudah dibebaskan selepas dijamin,” katanya.
Menurutnya, satu perjumpaan bersama keluarga kesemua pelajar yang ditahan turut diadakan dengan membabitkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), wakil Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dan warden asrama.
“Tindakan lanjut terhadap kesemua pelajar terbabit akan diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
