Empat sebab kenapa Linda tuntut cerai daripada Beego

Empat sebab kenapa Linda tuntut cerai daripada Beego

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Linda Hashim, 41; mendedahkan empat sebab utama yang menjadi punca dia menuntut cerai terhadap suaminya, Beego.

Linda atau nama sebenarnya, Norhazlinda Hashim berkata, punca sebenar dia tidak pulang ke rumah selama sembilan bulan adalah kerana bimbang dikasari selain tiga anaknya berdepan trauma akibat insiden kekasaran rumah tangga sebelum ini.

“Pertama, saya kena pukul. Kedua, anak-anak saya tak nak balik kerana mereka trauma. Ketiga, kunci rumah ada pada dia dan keempat apabila saya balik rumah, dia akan manggakan pintu rumah dari luar. Saya ada saksi yang tolong memotong mangga kunci. Selama ini saya diam, sekarang saya beritahu perkara sebenar,” katanya.

Menurutnya, dia sudah lama bersabar dan berdiam diri tetapi kesabarannya kini sampai ke kemuncak.

Linda berkata, dia turut memiliki laporan polis serta surat perintah larangan mengganggu atau mendekati (OACC) yang menghalang Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, daripada mendekatinya.

“Saya ada laporan polis dan juga perubatan. Walaupun begitu, atas dasar perikemanusiaan, saya masih benarkan dia berjumpa anak-anak,” katanya.

Menurutnya, dia juga kerap berkongsi perkembangan anak-anak menerusi media sosial tetapi tidak pernah menyebut berkenaan Beego.

“Jadi, saya beri amaran kepada Beego agar tidak lagi melakukan provokasi terhadap diri saya dan anak-anak.

“Dia nak buat ‘live’ cari rezeki tiada masalah tapi jangan nak lakukan provokasi terhadap saya. Jangan ganggu kehidupan kami yang kini lebih tenang. Jangan sebar fitnah dan manipulasi.

“Baru saya muat naik mengenai anak-anak, dia sudah kata saya lakukan provokasi,” katanya.

Menurutnya, dia juga mempunyai pelbagai bukti perbuatan suaminya itu yang yang boleh digunakan di mahkamah.

“Saya ada banyak bukti di telefon dan fail yang belum saya dedahkan. Ini amaran saya,” katanya.

Dia juga menasihatkan Beego agar tidak menggunakan agama untuk menutup perbuatan buruknya kerana segala bukti sampai kepadanya.

“Doa-doa orang teraniaya macam saya pasti Allah kabulkan. Saya pernah baca kenyataan dia menyertai tabligh dengan harapan agar saya kembali balik kepadanya.

“Itu bukan caranya. Itu hubungan antara dia dengan Allah,” katanya.

Linda berkata, sejak mereka tidak lagi tinggal sebumbung, dia tidak pernah sekali pun mengganggu kehidupan Beego.

“Daa ganggu saya sampai menjejaskan mental saya dan anak-anak. Jadi, untuk apa saya teruskan perkahwinan ini?” luahnya.

Linda memfailkan cerai terhadap Beego pada awal Januari lalu dengan alasan mereka sudah tiada persefahaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top