am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Ramadan kali ini membawa perubahan besar buat dua pemuda berbangsa Cina apabila menyambutnya sebagai saudara baharu.
Memeluk Islam pada Mac tahun lalu, Chia Yong Chern, 29, bagaimanapun tidak kekok berpuasa memandangkan sudah empat tahun dia menunaikan Rukun Islam ketiga itu meskipun masih beragama Buddha ketika itu.
Yong Chern atau nama Islamnya Muhammad Ali Chia berkata, amalan berpuasa di bulan Ramadan yang diamalkannya sejak 2022 itu tidak dihalang keluarga, malah ibunya sendiri yang menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur.
“Ketika itu ibu beranggapan bahawa saya hanya ingin berpuasa dan mengetahui mengenai amalan itu semata-mata, tapi apabila saya memberitahunya untuk memeluk Islam tahun lalu, dia agak kecewa.
“Bagaimanapun, selepas melihat keadaan saya yang baik-baik saja malah hubungan dengan keluarga tiada yang berubah, ibu kini semakin berlapang dada dan menerima dengan baik,” katanya ketika ditemui di
Pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan, di sini.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, persekitaran yang banyak bergaul dengan rakan beragama Islam ketika di bangku sekolah antara faktor dia tertarik untuk mendalami Islam.
Muhammad Ali mula mempelajari cara solat menerusi YouTube dan pernah hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat selain bertanyakan rakan mengenai asas Islam yang lain.
“Sejak mendalami Islam, saya sudah tinggalkan amalan yang dilarang termasuk minum (arak) dan makanan yang tidak halal.
“Saya rasa sangat seronok menjalani ibadah puasa tahun ini sebagai seorang Muslim dan setiap malam menunaikan solat tarawih bersama isteri selain belajar mengaji al-Quran,” katanya yang ditemui di majlis berbuka puasa anjuran MACMA itu, malam tadi.
Seorang lagi saudara baharu, Hu Lu Xiang, 43, yang baru enam bulan memeluk Islam berkata, pengalaman berpuasa agak sukar baginya kerana sebelum ini tidak pernah melakukannya walaupun hanya suka-suka.
Mengakui di awal Ramadan lalu dia gagal berpuasa seharian, Lu Xiang atau Hamzah Hu berkata, cuaca yang panas serta terlalu dahaga menyebabkan dia tidak mampu menahan nafsu untuk ‘berbuka lebih awal’.
“Rupanya berpuasa bukanlah sesuatu yang mudah. Alhamdulillah sudah seminggu saya berjaya berpuasa penuh walaupun ada masanya hampir tewas dengan rasa dahaga.
“Saya belum berpeluang lagi untuk solat Tarawih kerana sedang belajar dan melancarkan bacaan dalam solat tapi perubahan besar yang saya alami sejak bergelar seorang Muslim adalah menjadi lebih sabar berbanding sebelum ini yang cepat melenting,” katanya yang berasal dari Sarikei, Sarawak.
Sementara itu, Pengerusi MACMA Cawangan Kelantan, Dr Johari Yap Abdullah berkata, program berbuka puasa untuk mualaf yang berdaftar di bawah pertubuhan itu setiap tahun diadakan dan kali ini membabitkan 150 orang.
Beliau berkata, ia adalah untuk meraikan saudara baharu selain mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan mualaf itu sendiri selain bertukar pendapat sesama mereka.
“Kita juga agihkan sedikit wang zakat untuk kegunaan mereka dan selepas itu diikuti dengan acara berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib berjemaah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




