am@hmetro.com.my
Ampang: Ketika kebanyakan premis mula menutup operasi, sebuah gerai kopi kecil di Taman Dagang di sini, mula menjadi tumpuan pelanggan.
Bukan hanya kerana rasanya, tetapi tarikan waktu operasinya yang unik bermula dari jam 9 malam hingga subuh.
Gerai ini diusahakan oleh Mohamad Zulkhimi Zakaria, 32, yang juga seorang bekas mekanik motosikal dan kereta berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Selepas lima tahun bekerja sebagai mekanik, Zulkhimi mengambil keputusan berani untuk beralih arah dan memulakan perniagaan kopi yang beroperasi sepenuhnya pada waktu malam.
“Saya nampak ada ruang perniagaan pada waktu malam, terutama untuk orang yang bekerja lewat, pemandu e-hailing, pelajar dan mereka yang mahu melepak malam.
“Jadi saya buka gerai selepas Isyak hingga ke subuh,” katanya.
Dibantu dan diilhamkan oleh isterinya, Shima Deilla Shahadan, 30, yang berkerja sebagai jururawat, wanita terbabit turut mengajarnya seni membancuh kopi.
Zulkhimi mula menjalankan perniagaan ini sejak tujuh bulan lalu dengan menawarkan harga secawan kopi bermula dari RM5 hingga RM10, bergantung kepada jenis dan penyediaannya.
Perniagaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelanggan mendapatkan kopi berkualiti pada waktu lewat malam, malah menjadi alternatif kepada peminat kopi yang mencarinya selepas tengah malam.
Zulkhimi kini merancang untuk menambah baik gerainya dan mungkin akan membuka cawangan kedua jika sambutan terus meningkat daripada penggemar kopi.
© New Straits Times Press (M) Bhd