Enaknya sambal udang bersantan

Enaknya sambal udang bersantan

asyikin.mat@hmetro.com.my

Ramai yang menggemari sambal udang, namun mereka boleh mencuba sambal udang bersantan untuk merasai kelainan hidangan berkenaan.

Penyediaannya bukan sahaja mudah, tetapi lemak santan segar menambah keenakan juadah ini, sekali gus membangkit selera terutama ketika berbuka puasa.

Luqman Hakim, 27, berkata, sambal udang santan adalah hidangan kegemarannya dan dia memasaknya setiap dua minggu.

Menurutnya, hidangan itu adalah resepi ibunya dan mula mempelajarinya sejak tiga tahun lalu.

“Sudah tentu air tangan ibu lebih lazat dan tiada tandingan. Tetapi, kerana saya merantau di Lembah Klang, saya perlu memasak hidangan ini.

“Kombinasi rasa manis udang segar dengan santan segar membuatkan hidangan ini sangat lazat dan tidak menjemukan.

“Selain nasi putih, hidangan ini juga sesuai dimakan bersama nasi hujan panas atau nasi minyak,” katanya.

Katanya, bagi yang lebih menyukai pedas, boleh menambah cili kisar mengikut tahap kepedasan diinginkan.

“Saya pernah memasak hidangan ini untuk dihidang kepada rakan dan mereka turut menyukainya dengan ada yang meminta resepinya,” katanya.

Luqman berkata, bahan untuk hidangan ini juga mudah dan tempoh penyediaannya kurang daripada 30 minit.

Bahan-bahan:

– 400 gram udang

– Tujuh sudu besar lada kisar

– Secawan santan segar

– Sebiji bawang besar (kisar)

– Lima ulas bawang merah (kisar)

– Tiga ulas bawang putih (saiz kecil-kisar)

– Sebatang serai

– Garam

– Minyak masak

Cara memasak:

– Panaskan minyak

– Tumis tiga bahan bertanda hingga kekuningan

– Masukkan lada kisar dan tumis hingga pecah minyak

– Masukkan udang, santan, garam dan serai

– Masak dengan api perlahan hingga sambal betul-betul pecah minyak

– Kacau perlahan hingga udang masak

– Sedia dihidang untuk dimakan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top