am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Sokongan BERSATU Kelantan terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan berpecah apabila enam bahagian di negeri ini dijangka mengumumkan pembubaran dalam masa terdekat.
Enam bahagian berkenaan adalah Kota Bharu, Ketereh, Tanah Merah, Bachok, Jeli dan Pasir Mas.
Sumber berkata, selain pembubaran bahagian, cawangan di bahagian berkenaan juga akan dibubarkan.
Katanya, tindakan itu diambil kerana pihaknya sudah hilang kepercayaan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kenyataan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor yang mengatakan sokongan terhadap Muhyiddin secara sebulat suara adalah tidak benar.
“Sebaliknya enam bahagian tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin dan hanya lapan bahagian menyokong.
“Pengumuman pembubaran bahagian dan cawangan itu dijangka diumumkan Sabtu ini di sebuah hotel,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut katanya, konvensyen BERSATU yang berlangsung Sabtu lalu juga hanya membabitkan kehadiran ahli terutama Srikandi.
“Ramai ahli jawatankuasa (AJK) bahagian tidak hadir, yang hadir hanya ahli namun mereka mengumumkan sokongan terhadap Muhyiddin adalah sebulat suara. Sedangkan ia tidak benar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, BERSATU Kelantan berdiri teguh di belakang kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun ada segelintir pimpinan mahukan presiden parti berundur.
Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk mendesak presiden parti itu berundur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




