Enam beradik tak sekolah: JPN permudah daftar lewat kelahiran

Enam beradik tak sekolah: JPN permudah daftar lewat kelahiran

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kajang: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) komited mempermudah urusan pendaftaran lewat kelahiran bagi enam beradik yang dilaporkan cicir persekolahan, bagi memastikan kebajikan dan hak mereka untuk memiliki dokumen pengenalan diri yang sah terpelihara.

JPN menerusi Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat (BKA) mengadakan lawatan bagi membantu menyelesaikan isu dokumentasi enam beradik di Bandar Seri Putra.

Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN Putrajaya, Adibah Al-Husna Abdul Rahim berkata, pihaknya menyemak dokumen serta menerima permohonan pendaftaran lewat kelahiran bagi tiga daripada enam orang adik-beradik tersebut.

Katanya, langkah turun padang diambil bagi memberikan khidmat nasihat secara langsung kepada keluarga tersebut dalam melengkapkan urusan pendaftaran lewat kelahiran mereka.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebahagian dokumen penting sudah diperolehi namun masih terdapat beberapa maklumat yang perlu dilengkapkan sebelum permohonan dapat diproses sepenuhnya.

“Hari ini (semalam) kita menguruskan permohonan kategori daftar lewat kelahiran. Kita datang untuk menyemak dokumen yang ada, sama ada lengkap atau tidak lengkap dan membantu melengkapkan dokumen permohonan berkenaan.

“Selain itu, JPN mengumpulkan maklumat permohonan tersebut terlebih dahulu dan dokumen yang lengkap akan diproses di bawah permohonan daftar lewat kelahiran untuk anak-anak ini.

” Kita mahu memastikan setiap kanak-kanak yang layak mendapat dokumen pengenalan diri dapat dibantu sebaik mungkin kerana dokumen ini amat penting untuk masa depan mereka,” katanya ketika ditemui selepas lawatan bersepadu bersama agensi lain di sini semalam.

Adibah menjelaskan, proses biasa bagi permohonan daftar lewat kelahiran mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.

Permohonan akan diproses tertakluk kepada syarat dan dokumen yang ditetapkan, namun pihaknya akan berusaha mempercepatkan urusan berkenaan memandangkan keperluan mendesak keluarga terbabit.

Katanya, antara kekurangan yang dikenal pasti ketika ini ialah keperluan sokongan penganjur yang terdiri daripada dua warganegara Malaysia bagi mengesahkan permohonan berkenaan selain pengesahan daripada ketua kampung atau ketua komuniti.

“Kita difahamkan pihak yang akan membantu sebagai penganjur ketika ini berada di luar kawasan dan akan melengkapkan proses berkenaan secepat mungkin.

“Apabila semua dokumen sokongan diperoleh, proses seterusnya akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan dokumen yang ada ketika ini, JPN boleh menguruskan pengeluaran sijil kelahiran bagi keenam-enam kanak-kanak berkenaan sekali gus memberi mereka dokumen pengenalan diri yang diperlukan untuk urusan harian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top